- Iklan -
Berita

Anwar beri ‘ganjaran politik’ dalam lantikan Kabinet?

Ahli akademik Jeniri Amir berkata lantikan Kabinet Anwar dengan jelas mengikut hierarki dan kuota parti yang ditafsirkan sebagai satu bentuk ganjaran.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Perdana Putra, Putrajaya pada 5 Disember. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Perdana Putra, Putrajaya pada 5 Disember. Gambar: Bernama

Barisan Kabinet kerajaan akhirnya sempurna selepas semua timbalan menteri diumumkan pada 9 Disember lalu membolehkan pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim bergerak dengan kapasiti penuh, namun senarai jemaah menterinya dan langkah yang diambil perdana menteri itu terus mencetuskan persoalan.

Barisan Kabinet kali ini menyaksikan seramai 28 menteri dibantu 27 timbalan menteri yang mana jawatan tersebut diagihkan kepada parti PKR, Umno, DAP, Amanah, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gerakan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, Upko dan seorang bukan ahli politik.

Menariknya mengenai pengumuman Kabinet kerajaan kali ini kerana ia penuh dengan "kejutan", malah menarik banyak reaksi daripada masyarakat yang turut meluahkan pandangan mereka di media sosial.

Sebagai contoh, ramai meluahkan rasa kecewa apabila antara nama individu yang dinantikan seperti Dr Dzulkefly Ahmad, Yeo Bee Yin, dan Gobind Singh Deo tiada dalam senarai pengumuman Kabinet.

Ketiga-tiga individu ini disifatkan sebagai antara menteri cemerlang ketika memegang portfolio kesihatan, sains, teknologi dan alam sekitar dan komunikasi dan multimedia semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 hingga 2020.

Sebaliknya, nama yang diumumkan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang kini memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kemajuan desa dan wilayah.

Manakala Tengku Zafrul Aziz dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Nama-nama seperti ini menarik perhatian kerana Zahid kini sedang menghadapi 47 pertuduhan kes mahkamah manakala Zafrul pula tewas kepada Dzulkefly ketika bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Lantikan seperti ini menimbulkan tanda tanya mengapa Anwar tidak memilih ahli Parlimen yang lebih layak atau menjemput kembali individu seperti Khairy Jamaluddin atau Maszlee Malik menerusi lantikan senator kerana ini antara nama yang menjadi pilihan ramai dalam kalangan penyokong PH sebelum ini.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai prestasi menteri yang baru dilantik, terdapat juga luahan kebimbangan oleh segelintir pihak apabila Dr Zaliha Mustafa dan Fadhlina Sidek yang buat pertama kali dipilih menjadi ahli Parlimen - akan berdepan tugasan berat memandangkan mereka memegang portfolio kesihatan dan pendidikan.

Untuk rekod, negara masih belum bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19 dan ini mendorong orang ramai untuk meminta individu seperti Dzulkefly atau Khairy kembali memandangkan mereka mempunyai pengalaman menerajui Kementerian Kesihatan berdepan wabak tersebut.

Selain itu, isu pendidikan turut menjadi perbualan hangat apabila rakyat menggesa supaya sistem pendidikan negara dinilai semula dan ditambah baik serta-merta.

Selain daripada lantikan menteri, orang ramai juga agak tertarik dengan pengumuman Ahmad Maslan kembali memegang jawatan timbalan menteri kewangan yang mana beliau akan berganding bahu dengan Steven Sim dari DAP yang turut memegang jawatan sama.

Pengumuman ini disifatkan sebagai mengejutkan apabila setiausaha agung Umno itu sebelum ini pernah memegang jawatan sama pada 16 Mei 2013 semasa pentadbiran Najib Razak sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, nama Ahmad menjadi "terkenal" pada ketika itu apabila beliau cuba mempertahankan keputusan kerajaan yang ingin memperkenalkan sistem cukai GST bagi menggantikan SST dengan mengatakan harga barang tidak akan naik.

Beliau kemudian dilantik sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri apabila berlaku rombakan Kabinet pada Julai 2015.

Beralih kepada pandangan yang lebih menyeluruh, Kabinet yang diumumkan kali ini menampakkan Umno "menang besar" apabila parti itu merekodkan jumlah lantikan kedua tertinggi meskipun gabungan parti politik yang diterajuinya, Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada PRU15.

Umno memiliki enam jawatan menteri dan lima timbalan menteri, lebih menonjol berbanding DAP yang mempunyai empat menteri dan enam timbalan menteri, meksipun parti ini meraih jumlah kerusi kedua tertinggi di Parlimen. 

Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, lantikan Kabinet ini juga tidak lari daripada elemen "ganjaran", apabila proses pemilihan perlu mengikut kuota parti bagi memastikan sokongan terhadap pimpinannya dapat bertahan.

"Walaupun ada yang kata ini bukan ganjaran, tetapi jelas sekali lantikan ini mengikut hierarki dan kuota parti yang mana ini ditafsirkan sebagai satu bentuk ganjaran.

"Ini menunjukkan tangan beliau sudah terikat berhubung bagaimana kerajaan ini dibentuk," katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, Jeniri turut menganggap Anwar melanggar prinsipnya apabila melantik diri sendiri sebagai menteri kewangan serta mengangkat Zahid sebagai timbalan perdana menteri.

Katanya, walaupun Anwar memberi justifikasi berhubung keputusan yang dibuat, namun perkara itu dilihat masih mencemarkan namanya dan jenama reformasi yang diperjuangkan selama ini.

"Ini jelas mendapat mendapat reaksi negatif daripada rakyat," katanya. 

“Mereka sudah beri janji sebelum berkuasa, tetapi selepas berkuasa lain pula ceritanya."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.