- Iklan -
Berita

Buta akibat diabetes, lelaki jalani kehidupan sukar bersama isteri

Lim Bun Lai berharap dapat melihat semula wajah isteri dan anaknya suatu hari nanti.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengawal keselamatan Lim Bun Lai yang buta akibat diabetes, menggunakan tongkat di rumahnya di Padang Terap, Kedah.
Bekas pengawal keselamatan Lim Bun Lai yang buta akibat diabetes, menggunakan tongkat di rumahnya di Padang Terap, Kedah.

Selama bertahun-tahun, Lim Bun Lai, 56, mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang berhampiran rumahnya di Padang Terap, Kedah.

Namun kesihatannya semakin merudum dan dia disahkan menghidap penyakit kencing manis. 

Pada mulanya, dia menjalani kehidupan seperti biasa namun penyakitnya menjadi semakin teruk sehingga menjejaskan urat di bahagian matanya.

Kini, sudah lapan tahun Lim menjadi buta dan hilang penglihatan. 

Hanya kegelapan menyelubungi dunianya.

Akuinya, kehidupannya sukar namun bersyukur kerana masih dijaga isteri dan kakak. 

"Isteri saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah tadika berhampiran. 

“Dia selalu menguruskan saya dan kadang kala, kakak saya akan turut membantu di rumah," katanya kepada MalaysiaNow.

Jika dahulu dia cergas bergerak ke sana sini, ketiadaan upaya untuk melihat memaksanya berjalan lebih perlahan. 

Dia perlu meraba bahagian dinding rumah untuk bergerak ke dapur atau tandas untuk rutin hariannya. 

Hasil perkongsian hidup, Lim dan isteri dikurniakan seorang anak lelaki yang kini menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Lim Bun Lai yang buta akibat diabetes tidak lagi dapat meneruskan kerja sebagai seorang pengawal keselamatan.
Lim Bun Lai yang buta akibat diabetes tidak lagi dapat meneruskan kerja sebagai seorang pengawal keselamatan.

Dia berjaya mendapatkan pinjaman pendidikan bagi menampung kos hidupnya di menara gading itu. 

"Saya hanya mendengar radio di rumah untuk menghabiskan waktu," katanya. 

Lim masih perlu mendapatkan rawatan setiap empat bulan untuk memastikan keadaan tidak menjadi lebih buruk.

Begitupun, ia tidak menghalang Lim untuk membantu menguruskan rumah. 

Walaupun tidak nampak, dia cuba sedaya upaya mengemas rumah seperti menyapu sampah atau mencuci pinggan dan cawannya sendiri. 

Kakaknya, Lim Sik Voo, 59 pula membahagikan masa antara keluarganya sendiri dan membantu abangnya.

"Saya memang tinggal berhampiran sahaja dan duduk di rumah menjaga cucu saya. Dua atau tiga hari sekali, saya akan datang melihat keadaan adik.

"Saya banyak membantu dari segi makanan dan kerja rumah ketika isterinya bekerja," tambah kakaknya. 

Ditanya mengenai kos sara hidup sekeluarga, Lim berkata dia dan isteri memerlukan sekurang-kurangnya RM800 termasuk makan minum dan penjagaan kesihatan serta membayar bil elektrik dan air.

"Pendapatan isteri saya pun cukup-cukup makan sahaja. 

“Kalau ada bantuan dari pihak kerajaan untuk meringankan beban, saya amat hargai," katanya. 

Ditanya apa harapannya, Lim berkata semestinya dia mahu melihat semula wajah isteri dan anaknya, selain mahu berjalan tanpa mengharap bantuan orang lain.