- Iklan -
Berita

GRS yakin 4 ahli Parlimennya tidak terjejas akta lompat parti

Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata empat ahli Parlimen itu menyedari sepenuhnya mengenai undang-undang anti lompat parti yang berkuat kuasa sejak 5 Oktober sebelum menjadi calon PRU15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah Masidi Manjun. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah Masidi Manjun. Gambar: Bernama

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin empat ahli Parlimen di bawah gabungan itu, yang bertindak keluar daripada parti Bersatu, tidak akan terjejas dengan undang-undang antilompat parti.

Setiausaha Agungnya, Masidi Manjun, berkata GRS dan empat ahli Parlimennya menyedari sepenuhnya mengenai undang-undang anti lompat parti yang berkuat kuasa sejak 5 Oktober lalu sebelum menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka (ahli Parlimen berkenaan) akan memaklumkan speaker Parlimen jika ada keperluan mengenai kedudukan mereka dan akan mengeluarkan kenyataan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Matbali Musah (Sipitang), Armizan Mohd Ali, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Papar), Jonathan Yasin (Ranau) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi).

Kelmarin, Pengerusi GRS, Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan Bersatu negeri itu sebulat suara keluar dan meninggalkan parti berkenaan tetapi tetap bersama di bawah GRS.

GRS sebelum ini terdiri daripada parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bergabung dengan Barisan nasional (BN) untuk mentadbir kerajaan negeri itu.