Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution hari ini membidas kecaman kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) berhubung isu aduan penderaan di depoh tahanan imigresen, mengatakan terlalu awal untuk menilai dirinya yang belum seminggu menjalankan tugas di kementerian tersebut.
Dalam satu sidang media hari ini, Saifudin Nasution berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima teguran daripada mana-mana pihak.
"Biar saya dengar semua taklimat.
"Jangan buat kesimpulan awal.
"Sebab dia (LFL) sendiri pun tak pernah mohon nak jumpa saya. Macam mana nak kata saya tak sedia terima pandangan?" katanya.
Semalam, LFL mengecam cara Nasution berdepan aduan wujud penderaan dengan menolak menolak aduan layan buruk yang diterima pendatang tanpa dokumen sah di depoh tahanan imigresen Kimanis secara mentah-mentah selain mendakwa laporan mengenainya “berat sebelah".
Pengarahnya, Zaid Malek berkata cara Saifuddin memberikan respons mengenai perkara tersebut tidak boleh diterima dan bertentangan dengan tadbir urus yang baik, menyifatkan kenyataannya sebagai "salah satu jawapan paling tidak masuk akal yang pernah dikemukakan oleh seorang menteri dalam negeri ketika berdepan isu penderaan tahanan".
Mengulas lanjut, Saifudin menegaskan menjadi sesuatu yang munasabah untuk beliau dan timbalannya mendengar dahulu sesi taklimat daripada pegawai-pegawai dan agensi yang berkaitan sebaik sahaja menyertai Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Tentulah ada aspek yang kami akan beri pandangan. Buat masa sekarang, kami mendengar," ujarnya.