- Iklan -
Berita

Penganalisis jelaskan makna ‘konservatif’ dan ‘progresif’

Selain terminologi rumit, kedua-dua istilah itu juga boleh memberi takrif yang berbeza mengikut latar belakang sesebuah masyarakat di dunia

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu.
Pengundi beratur menunggu giliran membuang undi di Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu.

Aliff tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. 

Dia berkongsi perasaan itu di TikTok dengan satu video pendek menunjukkan dirinya berkerumun untuk bergambar dengan seorang pemimpin PAS yang hadir ke kawasannya dalam satu siri jelajah PRU15.
 
Sehari selepas PRU15, videonya ditonton lebih 100,000 kali, namun ramai pengguna yang tidak dikenali meninggalkan komen berbaur sarkastik dan hinaan selain menggelarnya sebagai seorang “konservatif”, “pentaksub ekstremis” dan “punca Malaysia tidak boleh maju.”
  
Beberapa hari selepas itu, video itu ditonton lebih 400,000 penonton selain lebih banyak komen yang mencetuskan pelbagai pendapat politik ketika negara berdepan kemelut keputusan PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung  sementara PAS pula meraikan kemenangan yang bersejarah.

Aliff mengambil keputusan untuk memadam video tersebut selepas timbul ketakutan dengan debat yang berlangsung dalam ruangan komen video ringkas yang dimuat naik olehnya.
  
“Sehingga kini saya masih pelik, apa salahnya kalau saya undi dan suka PAS? 

“Kalau undi kami yang baru habis sekolah ini tidak penting, kenapa minta kami turun mengundi?” kata pelajar kulinari dari Tangkak, Johor itu ketika dihubungi MalaysiaNow.

Pengalaman Aliff itu hanyalah salah satu babak yang berlaku dalam talian berikutan kemelut  selepas keputusan PRU15 diumumkan.
  
Ramai warga net yang menyerang pengundi kali pertama berusia antara 18 hingga 23 tahun dengan melabel mereka sebagai “tentera TikTok”, apabila dengan jelas kelompok itu memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), di mana calon PAS yang merupakan parti komponennya berjaya meraih hampir 50 kerusi Parlimen pada PRU15, jumlah kerusi terbanyak pernah dicapai parti itu dalam sejarah.
 
Undi 18 yang sebelumnya diraikan sebagai suara belia yang bakal memperkukuhkan demokrasi di Malaysia, tiba-tiba menjadi ancaman kepada demokrasi hanya kerana sebahagian masyarakat merasakan pilihan golongan itu bercanggah “idea-idea progresif” yang dibawa oleh sesetengah gabungan politik lain.
 
Bagi pakar sains politik terkemuka Chandra Muzaffar, apa yang terjadi adalah berpunca daripada masalah pengistilahan.

Beliau yang mengkaji sejarah demokrasi Malaysia sejak 50 tahun lalu berkata penggunaan istilah “progresif” dan “konservatif” hanya akan merumitkan lagi masalah, kerana ramai menggunakan istilah itu tanpa memahaminya.
 
Menurut Chandra, selain penggunaannya yang rumit dan kompleks, orang ramai sering mengandaikan konservatif sebagai satu sudut pandang yang bertentangan dengan progresif tanpa meneliti takrif sebenarnya bersandarkan sejarah, latar belakang dan persekitaran masyarakat.
 
“Jangan lupa bahawa istilah ini muncul daripada sistem politik Barat. 

“Dan sudah tentu istilah-istilah ini dipengaruhi oleh persekitaran masyarakat Barat. Atas sebab itu kita kena berhati-hati.”
 
Tambahnya, istilah-istilah itu perlu digunakan berdasarkan latar belakang penduduk negara ini.
 
“Sebagai contoh sekiranya kita mempertahankan agama sebagai amalan sesebuah masyarakat itu dianggap sebagai konservatif dan sekiranya kita sekular kononnya kita dianggap sebagai progresif. Ini menjadi pegangan sesetengah orang.  
 
“Tetapi sekiranya dalam sesebuah masyarakat yang menganuti agama dan menghargai agama serta menyanjung tinggi agama kerana itu adalah cara dan amalan mereka. Kita tak harus anggap itu sebagai konservatif semata-mata,” katanya.
  
Ini kerana, menurut Chandra, agama sudah menjadi sebahagian besar dalam cara hidup segelintir orang dalam masyarakat. 

Manakala mereka yang mengenepikan agama juga tidak seharusnya dianggap sebagai progresif.
 
Katanya, ini menunjukkan bukan mudah untuk menggunakan dua istilah itu tanpa memahami latar belakang sesebuah masyarakat kerana ianya mungkin membawa makna yang berbeza-beza.
 
Chandra turut memberikan contoh yang berlaku di negara India. 

Katanya, semua bahagian daripada masyarakat Muslim di sana lebih suka kepada aliran sekularisme kerana agama dan politik negara itu sering dikaitkan dengan ekstremis agama Hindu.
 
“Sebab itu mereka pilih sekular. Tidak bermakna mereka tinggal agama sama sekali. 

“Mereka masih berpegang kepada nilai dan segala peraturan Islam tetapi mereka lebih cenderung kepada sekular kerana konteks yang berlaku dalam negara mereka.”
 
Berbeza di Malaysia, kata Chandra, terdapat segelintir masyarakat yang pegang kuat pada agama. 

Mereka ini boleh jadi orang yang sangat terbuka pemikirannya dalam soal-soal seperti memperjuangkan keadilan, hak bersuara dan sebagainya.
 
“Kenapa? Kerana bagi mereka ini adalah perkara-perkara yang juga wujud dalam agama. Ini bukan sesuatu yang konservatif atau progresif, ini adalah amalan agama bagi mereka.
 
“Sebagai orang Islam umpamanya, mereka tahu dalam falsafah Islam ada beberapa unsur-unsur yang kuat menyokong keadilan sosial. Contohnya dari zakat sampai ke pembahagian harta dari segi pendermaan harta semuanya menuju kepada keadilan sosial.
 
“Sebagai contoh konsep waqaf. Waqaf adalah keadilan sosial dalam islam,” katanya sambil menambah mereka yang kuat amalan agama sudah pasti berpegang kepada idea-idea tersebut tanpa mengambilnya dari sudut pandangan luar.
 
“Ianya sudah ada dalam agama Islam.”

Islam dan nilai kekeluargaan 
 
Chandra turut menafikan andaian individu menjadi seorang yang konservatif hanya kerana dia tidak bersetuju kepada idea perkahwinan atau aktiviti yang melibatkan sama jantina.
 
Katanya, dalam persekitaran agama yang menyanjung tinggi institusi kekeluargaan, individu tersebut menolak perkahwinan sejenis kerana dalam agamanya mengajar elemen kekeluargaan sangat penting dan lahirnya keluarga adalah dari hubungan lelaki dan perempuan.
 
“Kita mesti faham konteks , sejarah yang dimaksudkan itu dan apakah ia ciri-ciri agama dalam masyarakat tertentu. Yang saya tegaskan bagi orang Muslim, ada beberapa unsur yang progresif dalam agama dan ianya tak perlu rujuk kepada mana-mana sumber yang lain.

“Kerana dia boleh rujuk kepada Islam, kerana tengok kepada perjuangan Rasulullah , tengok pada sejarah Islam dia tahu dia boleh berpegang kepada unsur ini. Tentang keadilan sosial, tentang keharmonian dan sebagainya.

Chandra juga berkata perdebatan baru-baru ini sama ada generasi lebih muda yang kini mempunyai hak untuk mengundi perlu dikaji daripada konteks yang dibahaskan.

Katanya, tiada yang salah berhubung perdebatan tersebut namun ia harus dibincangkan mengikut konteks tempatan bukan mengambilnya daripada tradisi yang tidak sesuai dengan masyarakat di Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.