Pendakwah bebas yang terkenal kerana lantang mengkritik pemimpin DAP disekat daripada muncul dalam Forum Perdana Ehwal Islam RTM, satu langkah yang menimbulkan persoalan tentang komitmen kerajaan baru berhubung kebebasan bersuara.
Ridhuan Tee Abdullah berkata, undangan untuk beliau menjadi ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam esok dibatalkan “atas arahan menteri”.
“Saya fikir ini tindakan yang tidak matang. Kita yang memperjuangkan kebebasan bercakap, kebebasan berucap, kebebasan bersuara, tiba-tiba kita pula yang mengambil tindakan menyekat orang nak bercakap,” katanya kepada saluran berita dalam talian TV Pertiwi.
Laporan itu turut memetik Ridhuan yang mengatakan tindakan menyekat beliau daripada terlibat dalam forum yang sudah lama disertainya menunjukkan kerajaan baru "takutkan dengan bayang-bayang sendiri".
“Dengar dulu apa yang kita nak cakap. Ini belum cakap lagi, dia dah gam dah. Yang kita peliknya, dulu mereka inilah yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan macam-macam kebebasan lagi," kata Ridhuan.
Ridhuan terkenal dengan kritikan tajamnya terhadap DAP dan pernah menggelar pemimpin parti itu sebagai "ultra kiasu".
Perkembangan terbaru itu juga dilihat akan meningkatkan kritikan terhadap Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menjadi tumpuan ramai sejak memegang portfolio tersebut, sekali gus menjadikan RTM dan agensi-agensi komunikasi kerajaan lain berada di bawah bidang kuasanya.
Sebelum ini, Fahmi juga mengundang kecaman susulan beberapa kenyataannya yang mengancam pengkritik kerajaan campuran diketuai Anwar Ibrahim.
Belum sempat seminggu selepas beliau memulakan tugas sebagai menteri, Fahmi mempersoalkan platform media sosial kerana memaparkan kandungan "provokatif" dan “ekstremis”, menyebabkan pengkritik membangkitkan persoalan mengenai beliau yang dilihat seakan keliru tentang skop sebenar tugasnya.