- Iklan -
Berita

Proham gesa kerajaan Anwar tunai janji berhubung hak asasi

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia pula menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan menteri dalam negeri mengenai Sosma.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bercakap dalam sidang media di mana beliau mengatakan kerajaan tidak berhasrat mengkaji semula undang-undang tahanan kontroversi Sosma pada 13 Disember. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bercakap dalam sidang media di mana beliau mengatakan kerajaan tidak berhasrat mengkaji semula undang-undang tahanan kontroversi Sosma pada 13 Disember. Gambar: Bernama

Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) hari ini menggesa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya berpegang dengan prinsip reformasi dalam menangani isu hak asasi manusia, selain turut menyertai suara yang kini membangkitkan kebimbangan mengenai kenyataan menteri dalam negeri berhubung undang-undang penahanan kontroversi yang ditentang Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

Dalam sebuah kenyataan, Proham berkata pihaknya bimbang dengan kenyataan Saifuddin Nasution yang membela Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma, yang sudah lama dianggap sebagai akta yang tidak memenuhi standard minimum hak asasi manusia.

"Antara lain, ia (Sosma) membenarkan penahanan tanpa bicara.

"Adalah mengecewakan Saifuddin turut membayangkan (kerajaan) tiada niat untuk mengkaji semula akta itu."

Pada 13 Disember, Saifuddin berkata undang-undang itu membenarkan proses mahkamah berlaku, membandingkan  Sosma dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Malahan Saifuddin berkata, tangkapan di bawah Sosma hanya dilakukan selepas  proses "risikan dan bukti yang diperolehi”.

Proham turut menyuarakan kebimbangan mengenai penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Bebas Kelakuan Polis (IPCC) 2020 pada Jun tahun depan, mengatakan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan pada 2019 perlu diadakan semula.

"Kerajaan baru sekurang-kurangnya perlu mengadakan dialog dengan kumpulan masyarakat sivil yang memperjuangkan perkara ini, memandangkan sifatnya yang kontroversi dan bertentangan dengan semangat kerajaan 'reformis'," katanya.

Ia juga menggesa kerajaan untuk memainkan peranan proaktif dan progresif sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain menyemak dan mengemas kini Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan selari dengan ikrar Malaysia di peringkat antarabangsa itu dan komitmen negara dalam Semakan Berkala Sejagat serta dokumen-dokumen lain yang berkait dengan hak asasi manusia.

"Kami juga ingin menekankan bahawa Malaysia masih jauh ketinggalan dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap perjanjian hak asasi manusia antarabangsa dengan hanya tiga ratifikasi. Kita adalah antara negara yang paling rendah dalam menandatanganinya di rantau Asia Tenggara.

"Sekarang adalah masa untuk kerajaan baru berpegang pada prinsip reformisnya berpandukan hak asasi manusia dan demokrasi bagi memajukan perlindungan hak asasi manusia di negara ini," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi