- Iklan -
Berita

‘Suara pak menteri semacam suara pak polisi’, ahli Parlimen PKR selar kerajaan

Selepas mengkritik barisan Kabinet Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyelar Saifuddin Nasution kerana pertahan Sosma.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin PKR Hassan Karim (tengah) dalam sebuah acara kempen PIlihan Raya Umum ke-15. Gambar: Facebook
Pemimpin PKR Hassan Karim (tengah) dalam sebuah acara kempen PIlihan Raya Umum ke-15. Gambar: Facebook

Seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang secara terbuka menentang langkah Anwar Ibrahim melantik Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya, menulis satu lagi puisi, kali ini mensasarkan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution kerana mempertahankan undang-undang kontroversi yang membenarkan polis menahan suspek hampir sebulan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, pendirian Saifuddin mempertahankan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), berbeza dengan protes yang pernah diketuai pemimpin gabungan itu.

Hassan berkata, mereka yang satu ketika dahulu mengatakan Sosma sebagai “draconian”, kini dibutakan oleh kekuasaan.

“Masa itu kita hanya reformis jalanan. Yang bergelandangan.

“Kini sudah lain; dunia sudah berubah, kita sudah di tampuk kuasa,” katanya dalam sebuah puisi yang dimuat naik di Facebook.

“Kita mula bercakap. Tahanan tanpa bicara hampir sebulan pun tidak mengapa. Demi keselamatan negara.”

Saifuddin menjadi sasaran serangan kumpulan hak asasi dan sekurang-kurangnya dua ahli politik PH sendiri selepas beliau berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula Sosma.

Beliau menegaskan Sosma tidak sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengatakan ia membenarkan seseorang ditahan selama “hanya 28 hari” selain turut berkata penahanan dibuat hanya selepas proses "risikan dan bukti yang diperolehi”.

Terdahulu, pemimpin DAP Gobind Singh Deo berkata kenyataan Saifuddin itu bertentangan dengan pendirian PH yang sudah lama mendesak Sosma dimansuhkan, manakala bekas ahli Parlimen PKR Maria Chin Abdullah, yang pernah ditahan di bawah undang-undang yang sama, mengingatkan Saifuddin bahawa akta itu digunakan terhadap lawan politik walaupun ia didakwa dibuat bagi memerangi keganasan.

Dalam pada itu, Hassan dalam catatannya turut berkata bahawa Saifuddin berbunyi seakan seorang polis.

"Lalu, aku yang berpuisi seperti ini. Dianggap menembak kaki sendiri,” katanya.

Awal bulan ini, Hassan menggesa Anwar berpegang pada janji dan prinsipnya selepas pengerusi PH menamakan Zahid sebagai timbalan perdana menteri walaupun beliau berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.

“Semalam aku masih terdengar-dengar, kau berkata kita tidak akan menggadai prinsip demi kuasa. Maka, aku pun percaya,” tulisnya.

“Kini aku malu pada diri sendiri, aku malu untuk ucapkan kata-kata keramat itu lagi.

"Separuh jiwaku telah mati, aku merasa tewas, ketika menang tanpa integriti seperti ini."