- Iklan -
Berita

Kita tak rujuk manifesto PH sahaja, menteri pendidikan jawab isu iktiraf UEC

Menteri pendidikan berkata pihaknya tidak lagi bercakap mengenai manifesto kerana ketika ini kerajaan adalah terdiri daripada pelbagai parti.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying pada sidang media pertamanya di Putrajaya hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying pada sidang media pertamanya di Putrajaya hari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kerajaan persekutuan tidak akan merujuk manifesto Pakatan Harapan (PH) semata-mata dalam dasarnya berkait isu pengiktirafan Sijil Menengah Persendirian Cina (UEC) yang menjadi ikrar manifesto gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini.

Pada sidang media pertamanya sebagai menteri, Fadhlina yang turut diiringi Timbalannya, Lim Hui Ying berkata isu tersebut ini akan diteliti dari semasa ke semasa. 

"Apa-apa berkait dengan manifesto juga kita akan lihat semula kerana sekarang kita berada dalam kerajaan perpaduan, kita tidak lagi bercakap mengenai manifesto PH semata-mata. 

"Jadi, manifesto juga kita akan lihat dari masa ke semasa," katanya dalam satu sidang media khas di Putrajaya.

Selepas pembentukan kerajaan baru, isu pengiktirafan UEC kembali dibangkitkan kerana ia menjadi ikrar manifesto  dan banyak diketengahkan dalam kempen PH dan Barisan Nasional (BN).

Kedua-dua parti itu turut berjanji mengiktiraf sijil UEC bagi kelayakan institusi pengajian tinggi tempatan.

Desakan supaya UEC diiktiraf lantang disuarakan badan pendidikan antaranya Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menggesa kerajaan PH menunaikan manifesto yang turut menjadi ikrarnya sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018. 

Sijil tersebut sudah diiktiraf institusi pengajian tinggi swasta dalam negara termasuk di Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Selangor selain turut diperakui beberapa universiti luar negara.

Bagaimanapun, UEC tidak dikawal selia oleh KPM di peringkat pusat.

Pada 2018, BN berkata ia akan memberikan pengiktirafan kepada UEC dengan syarat pemegang sijil memperoleh kepujian dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan lulus mata pelajaran sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi Tingkatan Lima.

Sementara PH berjanji UEC akan dibenarkan sebagai antara kelayakan masuk universiti awam sekiranya pelajar mendapat kepujian bagi bahasa Melayu SPM.

Namun, UEC masih kekal tidak mendapat pengiktirafan kerajaan.