Kos sara hidup, isu yang disifatkan “bread and butter” tampak masih belum ditangani dengan baik walaupun sebelum ini ahli-ahli politik Pakatan Harapan (PH) lantang bersuara mengenainya.
Sejurus selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10, Anwar Ibrahim mengarahkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk meneliti masalah kos sara hidup yang sejak sekian lama membelenggu golongan B40 dan M40.
Namun setelah dua minggu, tiada cadangan konkrit yang diutarakan oleh pemimpin tinggi kerajaan.
Anwar pada Selasa menyatakan negara harus menyalurkan subsidi pukal untuk membantu B40, M40 dan peniaga kecil, selain menyatakan kepada jabatan kerajaan untuk membangunkan kaedah-kaedah besesuaian melaksanakan subsidi bersasar.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, kenyataan itu bermakna Anwar masih tiada jawapan untuk melaksanakan subsidi bersasar.
"Beliau masih berharap pegawai-pegawai kerajaan beri yang idea bagaimana nak salurkan subsidi bersasar kepada rakyat.
“Ingatkan setelah bertahun-tahun dia kata kerajaan gagal melaksanakan agihan subsidi secara tepat kepada rakyat, dia sudah ada penyelesaian kepada masalah itu.
"Rupanya dia pun tidak ada cadangan tuntas," katanya kepada MalaysiaNow.
Kos sara hidup menjadi isu nombor satu yang ditumpukan dalam manifesto PH, Tawaran Harapan.
Dalam manifesto itu, PH berjanji untuk menghapuskan kartel, memastikan bekalan cukup, memberi insentif untuk meningkatkan pengeluaran, dan mengkaji semula konsesi lebuh raya.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang juga menteri ekonomi, turut mempunyai rekod menawarkan pelbagai kaedah untuk menangani isu itu.
Beliau yang dikenali sebagai “raja formula”mempunyai jawapan bagaimana menurunkan harga minyak kepada RM.150 seliter, menurunkan harga kereta dan menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Rafizi selepas dilantik menteri berkata negara memerlukan masa untuk membuat keputusan berhubung kemungkinan menurunkan harga runcit bahan api.
Sementara itu, pakar ekonomi Geoffrey Williams berkata, subsidi pukal yang dilaksanakan sekarang termasuklah subsidi minyak masak berjumlah RM4 bilion yang diberikan kepada penghasil, pemproses, pengedar dan orang tengah.
"Ia tidak pergi kepada rakyat. Jumlah itu sama dengan memberi RM115 pendapatan asas sebulan untuk membantu isi rumah B40," katanya.
Bagi Williams, tindakan Anwar meminta penjawat awam memikirkan solusi boleh dianggap sopan, namun katanya mereka akan gagal.
Ini kerana tidak banyak kaedah yang berkesan untuk subsidi bersasar.
Menurut pensyarah Malaysia University of Science and Technology itu, subsidi bersasar untuk satu-satu produk spesifik tidak akan berjaya, kecuali untuk utiliti dan petrol yang harga boleh ditetapkan secara berperingkat.
"Meneruskan subsidi hanya membolak-balikkan pasaran.
“Kita mesti berubah kepada subsidi pendapatan dan bukan produk," katanya yang memaklumkan, tindakan meneruskan subsidi hanya memberi manfaat kepada pihak yang tidak memerlukan, selain ketirisan dan korupsi menerusi orang tengah.
Sementara itu, Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, kerajaan sewajarnya sudah ada rancangan melaksanakan subsidi bersasar sebelum melangkah masuk ke Putrajaya.
"PH sudah pernah jadi kerajaan selama 22 bulan selepas PRU14.
“Mereka sudah ada pengetahuan tentang pelaksanaan agihan subsidi yang didakwa ada banyak ketirisan dan tersasar," tambahnya.
Kos sara hidup, menurut sesetengah penganalisis sebelum ini, merupakan satu faktor kejatuhan BN pada 2018, apabila rakyat terhimpit antara kenaikan harga barangan asas dan kadar gaji yang kekal pada tangga yang sama.
Williams menambah, walaupun manifesto PH berhubung kos sara hidup tidak mempunyai solusi spesifik, katanya mereka kini sudah menjadi kerajaan dan boleh mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai isu itu.
"Manifesto BN lebih spesifik berhubung membantu orang ramai dengan kos sara hidup menerusi skim bantuan pendapatan asas. Ini merupakan idea yang baik untuk membantu semua B40, bahkan B50.
"Dengan kerajaan baru, menggabungkan idea daripada semua pihak akan semua akan menjayakan agenda dengan lebih kukuh dan inklusif," katanya.