- Iklan -
Berita

Kumpulan peguam gesa Anwar campur tangan dalam isu Sosma

Lawyers for Liberty mempersoalkan bagaimana kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim yang pernah menjadi mangsa penderaan ketika dalam tahanan boleh 'mempertahankan secara membuta-tuli’ undang-undang kontroversi itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menggesa Anwar Ibrahim untuk memastikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma segera dikaji semula atau dimansuhkan, mengatakan perdana menteri sendiri pernah menjadi mangsa penderaan tahanan susulan pemecatannya daripada kerajaan pada 1998.

Dalam ssebuah kenyataan, pengarah LFL Zaid Malek menggesa pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu supaya tidak berdiam diri mengenai isu yang mencetuskan pertikaian hangat awal minggu ini, apabila Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula undang-undang kontroversi itu walaupun bercanggah dengan pendirian PH semasa gabungan itu masih menjadi pembangkang.

"Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri pernah menjadi mangsa penderaan tahanan selepas dipecat dari kerajaan pada 1998, dan sering menjadi sasaran undang-undang yang menindas," katanya.

"Bagaimanakah kerajaan pimpinan Anwar boleh membela Sosma secara membuta-tuli?”

Pada 13 Disember, Saifuddin berkata pada sidang media bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula Sosma.

Beliau berkata Sosma membenarkan proses mahkamah berlaku, selain turut membandingkannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang sudah dimansuhkan, mengatakan di bawah Sosma, tempoh tahanan "hanya 28 hari".

Beliau juga berkata tangkapan di bawah Sosma hanya dilakukan selepas proses "risikan dan bukti yang boleh dipercayai".

Kenyataan beliau mencetuskan kebimbangan ramai termasuk rakan pimpinan PH Gobind Singh Deo, yang berkata kenyataan tersebut bercanggah dengan pendirian gabungan itu yang selama ini mengakui Sosma sebagai undang-undang yang menindas.

Bagaimanapun, Saifuddin tetap mengekalkan pendiriannya di mana pada 15 Disember, beliau mengulangi pendirian tersebut yang mengatakan tiada keperluan untuk meminda Sosma buat masa ini.

Zaid berkata respons terbaru Saifuddin mengenai isu itu adalah "bercanggah dan tidak masuk akal“, membidas menteri itu yang mengakui beberapa bahagian Sosma perlu dipinda namun tetap berpendirian supaya undang-undang itu tidak dikaji semula.

Beliau berkata Saifuddin juga gagal menjelaskan mengapa beliau dan rakan-rakannya dalam PH mengundi untuk tidak menyokong usul lanjutan Sosma di Parlimen awal tahun ini dan kini kelihatan mempertahankan undang-undang tersebut.

"Adakah Sosma telah menjadi suci secara tiba-tiba kerana mereka sudah berada dalam kerajaan?" soalnya.

Selain menggesa Anwar supaya campur tangan, beliau berkata perdana menteri juga mesti memastikan kerajaan pimpinan PH kekal dengan pendirian terhadap Sosma selepas bertahun-tahun menentangnya secara terbuka.