Tindakan kerajaan menggunakan media rasmi seperti Bernama untuk mempertahankan pelantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dikecam pengguna media sosial.
Ini kerana ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini sedang berdepan 47 pertuduhan kes rasuah dan jenayah di mahkamah yang mana beliau diperintahkan untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Terdahulu, Jabatan Penerangan Malaysia menerusi akaun Twitter rasmi Bernama TV memuat naik ciapan bagi menjawab beberapa soalan yang dibangkitan orang ramai termasuk isu lantikan Zahid.
"Berlandaskan kepada konsep keadilan setiap orang yang didakwa atas kesalahan jenayah adalah dianggap tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan betul-betul bersalah mengikut rule of law di Malaysia.
"Justeru adalah tidak menjadi sesuatu yang melanggar mana-mana etika bahawa pelantikan ini membelakangkan integriti kerajaan perpaduan," demikian menurut penjelasan berhubung pelantikan Zahid.
Selain daripada pelantikan Zahid, kerajaan turut menjelaskan mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil masa lama untuk melantik anggota Kabinet dan memilih individu yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini serta menerangkan mengapa presiden PKR itu turut menjawat portfolio sebagai menteri kewangan.
Meskipun penjelasan yang diberikan, pengguna media sosial dilihat menggunakan kesempatan ini untuk meluahkan rasa tidak puas hati selain menyindir keputusan tersebut.
Malah, mereka turut mempersoalkan penggunaan istilah "Kerajaan Perpaduan" memandangkan Parlimen akan turut menyaksikan kehadiran parti pembangkang.
"Kalau parti lain buat macam ini, mesti macai Pakatan Harapan (PH) cakap salah guna media kerajaan," kata pemilik akaun Twitter Saifulnizam Hamdan @saifulnh merujuk kepada semua jawapan yang diberikan.
"Bab Zahid tu memanglah ‘innocent until proven guilty’ but nampak lah kurang sedap mata memandang kluster mahkamah dalam Kabinet," kata pengguna Twitter Danny @dnnyrziq.
"Kan boleh je lantik mereka yang langsung tak ada kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri? Kan lebih mudah? Talen pool kat Malaysia ni kecik sangat ke sampai terpaksa bergantung kepada mereka yang masih ada kes mahkmah?"soal pengguna Sic @sicfallacy.
Pada masa sama, pengguna media sosial turut mempersoalkan mengapa media rasmi digunakan untuk menjelaskan isu ini bagi pihak kerajaan.
"Kenapa media buat infografik begini? Atau diarah buat begini? Kenapa perlu jelaskan begini? Saya ingat bila rakyat memilih perubahan, media akan lebih bebas. Sangkaan saya meleset," kata pengguna Y.A @yuyuaziz yang turut tag akaun Twitter Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil @fahmi_fadzil.
"Sejak bila bernama jadi alat propaganda kerajaan ni?" soal seorang lagi pengguna Tun Faisal @tunfaisal.