- Iklan -
Berita

Penahanan tanpa bicara Sosma bercanggah dengan hak asasi manusia, kata Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia berkata keseimbangan yang wajar mesti dicapai antara keselamatan negara dan hak asasi manusia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pegawai penjara mengawasi kem tahanan kamunting di Taiping dalam sebuah gambar fail pada 29 Mei 2004. Gambar: AFP
Seorang pegawai penjara mengawasi kem tahanan kamunting di Taiping dalam sebuah gambar fail pada 29 Mei 2004. Gambar: AFP

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menyuarakan kebimbangan mengenai pendirian Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, mengatakan penahanan tanpa bicara di bawah akta itu adalah bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

Dalam sebuah kenyataan, Pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad berkata beliau mengakui undang-undang kontroversi yang dikenali sebagai Sosma itu diwujudkan melalui kuasa khas di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, Suhakam bimbang dengan kandungan Seksyen 4 Sosma di mana tangkapan, penahanan dan pembaharuan tempoh tahanan tidak memerlukan pemantauan perundangan.

"Ketiadaan pengawasan perundangan membolehkan eksekutif dan polis bebas menyalahgunakan kuasa sedemikian terhadap rakyat, pejuang hak asasi dan pembangkang politik," katanya.

Pada 13 Disember, Saifuddin berkata pada sidang media bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula Sosma.

Beliau berkata Sosma membenarkan proses mahkamah berlaku, selain turut membandingkannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang sudah dimansuhkan, mengatakan di bawah Sosma, tempoh tahanan "hanya 28 hari".

Beliau juga berkata tangkapan di bawah Sosma hanya dilakukan selepas proses "risikan dan bukti yang boleh dipercayai".

Kenyataan beliau mencetuskan kebimbangan ramai termasuk rakan pimpinan Pakatan Harapan, Gobind Singh Deo, yang berkata kenyataan tersebut bercanggah dengan pendirian gabungan itu yang selama ini mengakui Sosma sebagai undang-undang yang menindas.

Bagaimanapun, Saifuddin tetap mengekalkan pendirian beliau di mana pada 15 Disember, beliau mengulangi pendirian tersebut yang mengatakan tiada keperluan untuk meminda Sosma buat masa ini.

Rahmat berkata keseimbangan yang sewajarnya mesti dicapai antara keselamatan negara dan pemeliharaan hak asasi manusia.

"Suhakam konsisten kekal dengan pendirian mengenai undang-undang keselamatan yang berkaitan dengan penahanan tanpa bicara, bahawa penahanan tanpa bicara bertentangan adalah bercanggah dengan prinsip utama hak asasi manusia.

"Kebebasan daripada penahanan yang dibuat secara sewenang-wenangnya, hak untuk perbicaraan yang adil dan hak kepada ketenteraman sosial dan antarabangsa di mana semua hak itu dapat sepenuhnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi