- Iklan -
Berita

Tiada rekahan jalan di kawasan tanah runtuh, kata menteri

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kejadian tanah runtuh pagi tadi melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300m dan setinggi 70m.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas media berjalan di sekitar kawasan tanah runtuh di Batang Kali hari  ini.
Petugas media berjalan di sekitar kawasan tanah runtuh di Batang Kali hari ini.

Tiada rekahan terbuka pada turapan permukaan (pavement) jalan di laluan B66 Jalan Batang Kali-Genting Hulu Selangor yang terlibat dengan insiden tanah runtuh awal pagi ini. 

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kejadian tanah runtuh pada kira-kira 2.42 pagi tadi melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300m dan setinggi 70m.

“Hasil tinjauan dan pemeriksaan visual mendapati kawasan runtuhan tersebut melibatkan sebahagian dari jalan negeri B66 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor iaitu sepanjang 5 meter," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nanta berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pelbagai agensi sedang giat melaksanakan misi mencari dan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian termasuk Pasukan Forensik Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia yang berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan berdasarkan agihan peruntukan yang diterima. Kementerian Kerja Raya dan JKR akan sentiasa prihatin keselamatan dan keselesaan pengguna jalanraya,” katanya.

Nanta berkata Jalan B66 Batang Kali-Genting Hulu Selangor kini ditutup atas arahan ibu pejabat Polis Hulu Selangor untuk keselamatan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif ketika ini iaitu menerusi Jalan Ulu-Yam Batu Caves ke Gombak dan menuju ke KLK untuk sampai ke destinasi akhir iaitu, Genting.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata pihaknya telah mengarahkan pasukan penyelamat dan sukarelawan dari negeri itu segera ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa. 

"Saya menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk mengadakan sebarang aktiviti perkhemahan sama ada di kawasan tanah tinggi atau pun di kawasan berhampiran sungai terutamanya pada musim tengkujuh," katanya menerusi status di akaun Facebook rasminya hari ini. 

Setakat tengah hari ini, 61 mangsa telah dibawa keluar dari tempat kejadian manakala 16 maut dalam kejadian itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di lokasi kejadian.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.