- Iklan -
Berita

Banjir, peningkatan paras laut ancam kewangan pemilik rumah

Kawasan perumahan di lokasi tertentu mungkin tidak lagi selamat, bagaimanapun penduduk masih perlu membayar hutang mereka dengan pihak bank.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki membersihkan keretanya di genangan air banjir termenung selepas banjir besar melanda Tamn Sri Muda di Shah Alam, Selangor pada 21 Disember tahun lalu.
Seorang lelaki membersihkan keretanya di genangan air banjir termenung selepas banjir besar melanda Tamn Sri Muda di Shah Alam, Selangor pada 21 Disember tahun lalu.

Seorang penganalisis data yang terlibat dalam penyelidikan mengenai pasaran hartanah memberi amaran beribu-ribu keluarga berisiko jatuh miskin akibat banjir tahunan dan peningkatan paras laut yang dikaitkan dengan perubahan iklim dan pemanasan global sehingga menjejaskan tempat tinggal mereka.

Cha-Ly Koh, pengasas dan ketua pegawai eksekutif syarikat data, berkata kawasan sebegitu kebanyakannya terletak berdekatan kawasan muara Sungai Klang di Pelabuhan Klang dan Shah Alam, selain kawasan-kawasan utara.

"Di kawasan rendah bersebelahan dengan laut, kawasan yang terletak di sebelah sungai utama seperti Sungai Klang juga akan terjejas dengan paras air lebih tinggi," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, perkara ini akan menimbulkan risiko kepada kewangan penduduk, kerana aset hartanah biasanya dibeli dengan kaedah gadai janji.

Di Malaysia, tempoh pinjaman paling lama ialah 35 tahun.

Jika banjir mula mendatangkan bahaya kepada kesihatan dan keselamatan, Koh berkata, penduduk perlu berpindah. 

Dan untuk melakukannya, mereka memerlukan wang.

"Mereka yang mempunyai tanggungan gadai janji akan terpaksa membayar bagi dua tempat tinggal,” katanya.

"Orang yang sudah bersara dan selesai membayar gadai janji mereka juga perlu mencari sumber tambahan untuk menyewa di tempat lain."

Lembah Klang, yang menempatkan lapan juta penduduk, dilihat sebagai nadi ekonomi negara. 

Tahun lalu, ia menghadapi banjir buruk di mana beberapa kawasan termasuk Shah Alam, Hulu Langat dan pusat bandar ditenggelami banjir.

Kerugian dianggarkan lebih RM6 bilion, dan keadaan banjir dijangka bertambah buruk pada tahun-tahun yang mendatang.

Sebahagian daripada masalah itu dikaitkan dengan pembangunan berlebihan dan penghijrahan bandar di mana projek perumahan tetap dibina walaupun di kawasan yang mudah dilanda banjir bagi memenuhi peningkatan permintaan.

Koh berkata pihak berkuasa tempatan harus lebih sedar mengenai ancaman yang ditimbulkan kawasan ini akibat banjir dan perubahan iklim.

Pada masa ini, katanya, iklim dan paras laut bukan faktor pertimbangan dalam kelulusan pembangunan.

Tambahnya, daripada memulakan lebih banyak projek perumahan, pihak berkuasa harus melihat dengan lebih dekat isu kekosongan rumah.

"Kawasan kejiranan lama sepatutnya tidak diganggu (dengan projek baru) bagi mengumpul nilai dan bukannya menyebabkan generasi muda terpaksa keluar dari rumah mereka.

"Daripada membina (projek baru), saya mencadangkan kerajaan mengaktifkan semula kawasan perumahan menjadi lokasi yang lebih selamat," katanya.

Koh memetik data yang menunjukkan rumah di kawasan banjir lebih rendah kosnya berbanding di lokasi lain, bermakna mereka yang berpendapatan rendah lebih berkemungkinan paling terkesan akibat banjir.

Dia merujuk kepada situasi di beberapa negara di mana kerajaan menawarkan skim pembelian rumah jika rancangan tebatan banjir untuk rumah di lokasi banjir terlalu mahal. 

Menurutnya, skim tersebut berbentuk pembelian hartanah yang terjejas oleh kerajaan dan penduduk bebas untuk berpindah.

Koh berkata ia sama dengan pengambilan tanah dan hartanah bagi projek MRT Malaysia.

Dia turut memberi amaran tentang ancaman air bawah tanah, menyifatkannya sebagai masalah yang sering diabaikan.

"Air laut tidak berakhir di pantai," katanya. 

“Ia akan memberi tekanan pada air di bawah tanah.

“Apabila paras air laut meningkat, walaupun kita bina binaan tebatan banjir, kita tidak dapat menghalang air laut daripada menaikkan paras air bawah tanah.

"Ini bermakna semua kawasan banjir akan menghadapi kesan dari sudut sistem sanitasi dan air yang bergantung kepada keadaan sistem hidrodinamik ketika ini.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.