- Iklan -
Berita

Anwar harus saman media antarabangsa atas dakwaan ‘homoseksual tegar’, kata ketua pembangkang

Hamzah Zainudin menggesa kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim perlu mengambil tindakan tegas berhubung penerbitan artikel tersebut kerana ia berkait dengan imej negara.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen pembangkang diketuai Hamzah Zainudin di sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen pembangkang diketuai Hamzah Zainudin di sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengambil tindakan terhadap media antarabangsa yang mengeluarkan laporan hingga boleh mencemarkan imej negara.

Beliau menggunakan contoh laporan media dari Itali Agenzia Nova yang menerbitkan artikel bertajuk "First Full-blown Homosexual Elected Prime Minister in an Islamic Country".

"Tindakan tegas harus diambil," kata setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu di Dewan Rakyat hari ini.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa Tambun (Anwar) sudahpun diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong."

Tambahnya, Anwar tidak wajar sekadar menjadi jaguh kampung kerana hanya berani mengambil tindakan terhadap mereka di dalam negara sahaja.

"Betul! Dulu Tambun telah dihukum oleh mahkamah kerana keasalah luar tabiinya, tetapi sekarang sudah bebas kerana telah diberi pengampunan.

"Jangan dibiarkan sehingga dunia percaya seolah-olah PM Malaysia pengamal homoseksual tegar. Ini cerita lama," tambah beliau.

Selain itu, Hamzah berkata, PN turut bersedia untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan mengambil alih kerajaan apabila tiba masanya.

Hamzah berkata, memandangkan Anwar sudah menjadi perdana menteri dan memegang portfolio menteri kewangan adalah tidak wajar untuk beliau membuat tuduhan sombrono dan timbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan lama.

Katanya, sekiranya terdapat apa-apa kesalahan yang dilakukan mana-mana individu, Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun kini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Malah, katanya presiden PKR itu juga boleh merujuk kepada bekas menteri kewangan berhubung perbelanjaan kerajaan ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri memandangkan Tengku Zafrul Aziz yang kini berada di "pihanyak" di blok kerajaan selepas dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

"Tanya senator menteri Miti, bagaimana cara pengurusan rangsangan dan bantuan RM600 bilion yang telah diumumkan dalam dalam pemerintahan kerajaan pimpinan Pagoh (Muhyiddin)," katanya ketika berucap pada Perbahasan Undi Percaya kepada perdana menteri.

Menjelaskan lanjut, Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut, berkata sebahagian besar dana "RM600 bilion" yang dibelanjakan adalah berbentuk bukan fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

"Ia termasuk pengeluaran KWSP seperti i-Lestari, i-Sinar, i-Citra, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat dan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan terjejas ekoran penularan Covid-19," katanya.

Selain itu, Hamzah turut mempersoalkan tindakan kerajaan menyekat kandungan media sosial tertentu yang mana perbuatan ini disifatkan sebagai menyekat kebebasan media. 

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan itu bercanggah dengan juga bercanggah dengan pendirian dan tawaran manifesto Pakatan Harapan (PH).

"Selain kegilaan menyaman sesiapa saja yang mengkritik individu tertentu dalam kerajaan, kerajaan ini juga sedang menyekat kebebasan dan kreativiti anak-anak muda di media sosial.

"Fungsi penting demokrasi ini akan rosak apabila kebebasan media dihadkan dan kesan buruknya akan menyebabkan pemimpin serta rakyat tidak lagi mempunyai akses kepada maklumat benar," kata Hamzah yang mengambil petikan daripada manifesto PH.