Bekas MKT Umno yakin Anwar akan beri keadilan kepada Najib
Lokman Noor Adam berkata, keputusan kes Najib Razak yang menyaksikan beliau dipenjara seolah-olah wujud konspirasi untuk menganiaya bekas presiden Umno itu kerana terdapat elemen konflik kepentingan.
Terkini
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam yakin Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memberi keadilan sewajarnya kepada Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
Najib yang juga bekas perdana menteri pada Julai 2020 dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hukuman itu dibacakan hakim Mahkamah Tinggi, pada ketika itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali apabila mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Hukuman itu dikekalkan apabila rayuan Najib yang juga bekas ahli Parlimen Pekan itu turut ditolak di Mahkamah Rayuan sebelum dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.
Lokman berkata, keputusan terhadap kes Najib yang menyebabkan beliau dipenjara seolah-olah wujud konspirasi untuk menganiaya bekas presiden Umno itu memandangkan terdapat elemen konflik kepentingan.
Katanya, konflik kepentingan ini melibatkan kedudukan Nazlan sebagai hakim dalam kes SRC dan persoalan timbul apabila beliau tidak mengisytiharkan konflik kepentingan itu dan kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Hari ini yang menyebabkan dia (Najib) dipenjara ialah kerana Nazlan tidak didakwa, jadi penglibatannya jelas menunjukkan ada konspirasi dan niat jahat untuk menganiaya Najib.
"Saya yakin sekarang ini dia akan mendapat pembelaan yang sewajarnya menerusi bukti-bukit baru yang sebelum ini tidak diterima," katanya kepada MalaysiaNow.
Terdahulu, Lokman yang mewakili NGO Gabungan Gerakan Keadilan Untuk Najib hari ini menghantar memorandum kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said untuk memohon semakan laporan SPRM terhadap Nazlan dan didedahkan kepada umum.
Berdasarkan memorandum itu, kerajaan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Nazlan kerana didakwa melakukan beberapa pelanggaran undang-undang melibatkan Kanun Keseksaan, Akta SPRM 2009 dan Kod Etika Hakim 2009.
"Kami percaya bahawa Najib telah dizalimi dan tindakan mendakwa dan menghukum beliau adalah sesuatu yang telah dirancang," katanya selepas menyerahkan dokumen itu kepada pegawai tugas-tugas khas menteri undang-undang dan reformasi institusi, Gan Wen Shen di pekarangan luar bangunan Parlimen.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.