- Iklan -
Berita

Mampukah Loke selesaikan isu penangguhan, pembatalan penerbangan?

Penumpang syarikat penerbangan berharap menteri pengangkutan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak awal pandemik melanda negara.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook melawat Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang pada 12 Disember. Gambar: Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook melawat Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang pada 12 Disember. Gambar: Bernama

Isu penangguhan dan pembatalan penerbangan yang masih berlaku hari ini ditambah dengan kes bayaran balik tertunggak dijangka akan menjadi cabaran besar buat Anthony Loke yang kini memegang portfolio menteri pengangkutan.

Tetapi buat masa ini, Loke yang mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 3 Disember lalu, dilihat aktif menyelesaikan isu berkaitan pengangkutan awam darat seperti LRT memandangkan itu antara perbualan hangat sejak kebelakangan ini.

Walaupun beliau ada menyentuh mengenai operasi penerbangan apabila mengumumkan pelaksanaan Sistem Laluan Pelepasan Standard dan Laluan Pendaratan Standard yang akan dilaksanakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi memendekkan laluan mendarat pesawat, ini bagaimanapun tidak menyentuh isu hak penumpang.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pakar penerbangan, Germal Singh Khera, berkata masih terlalu awal untuk Loke meneliti isu ini dengan lebih mendalam memandangkan beliau baru saja dilantik sebagai menteri pengangkutan bermula 2 Disember lalu.

Oleh itu, beliau berkata, Loke mungkin sedang mengutamakan isu lain seperti pengangkutan awam darat yang memberi impak lebih besar kepada pengguna.

"Mungkin juga beliau berpandangan ada Mavcom dan CAAM untuk kendalikan segala masalah berkaitan penerbangan dan ini membolehkan beliau selesaikan isu lain.

"Malah, isu berkaitan penerbangan ini sebenarnya memang ada dalam perhatian Mavcom yang mana agensi itu telah mengusulkan beberapa pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC)," katanya kepada MalaysiaNow.

Isu berkait syarikat penerbangan timbul pada awal 2020 apabila ancaman Covid-19 mula menular di peringkat global, menyebabkan banyak negara menutup sempadan antarabangsa dan ini mengakibatkan operasi penerbangan terpaksa dihentikan.

Di Malaysia, keputusan membuka semula sempadan antarabangsa negara dilaksanakan pada April 2022 sekali gus menyaksikan banyak operasi sektor berkaitan pelancongan termasuk penerbangan kembali aktif, namun isu pembatalan penerbangan ini masih berterusan.

Malah, ramai juga penumpang AirAsia dan AirAsia X tampil meluahkan rasa tidak puas hati apabila masih tidak menerima bayaran balik ekoran pembatalan penerbangan mereka pada 2020.

Seorang daripada penumpang itu ialah Mohd Faiz Mustaffa, selepas dia berdepan empat kali insiden pembatalan penerbangan oleh AirAsia sejak 2020.

Bagi Faiz, dua kes pertama tidak menjadi isu memandangkan negara masih berdepan ancaman Covid-19 tetapi selepas sempadan dibuka pada April 2022, dia tetap berdepan masalah sama apabila penerbangannya ke Bandung, Indonesia yang dijadual berlepas pada November lalu turut dibatalkan.

Disebabkan kes ketiganya menjadi viral di media sosial, beliau bagaimanapun ditawarkan penerbangan ganti oleh AirAsia pada tarikh lain, tetapi, penerbangan ini juga dibatalkan pada Oktober lalu.

"Saya agak kecewa. Tak patut jadi sampai begini.

"Tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya dapatkan semula bayaran balik dalam bentuk tunai pada 20 Oktober lalu,"  kata Faiz yang sudah bertahun menggunakan perkhidmatan AirAsia.

Aduan terbaru yang diterima MalaysiaNow ialah daripada lelaki warga Filipina, Christian Echica, apabila penerbangannya yang sepatutnya berlepas pada 25 Disember depan ditukar ke tarikh lain sebelum dibatalkan oleh AirAsia.

Menurut lelaki berusia 41 tahun itu, penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur ke Cebu itu adalah untuk dia pulang sambut Hari Natal bersama keluarganya di Filipina.

Menceritakan kisahnya, Echica berkata, dia menerima emel yang memaklumkan penerbangannya dibatalkan 9 November lepas namun sehingga hari ini masih tiada bayaran balik yang diterima sama ada dalam bentuk tunai atau kredit meskipun sudah membayar RM1,872 untuk pembelian tiket itu.

"Oleh itu saya terpaksa membeli satu lagi tiket penerbangan bersama Philippines Air yang mana saya membayar tambahan RM1,718," katanya kepada MalaysiaNow.

Tambah Echica, dia juga sering menggunakan perkhidmatan AirAsia untuk kembali ke Filipina sejak 2014 dan ini adalah kali pertama dia berdepan isu ini.

Malah, dia juga meluahkan rasa kecewa apabila perbualan dalam AVA (Chatbot AirAsia) juga tidak membuahkan hasil menyebabkan dia menghantar emel kepada pihak AirAsia hampir setiap hari untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu bayaran balik.

Pada masa sama, Echica dan Faiz akui sudah serik menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan ini dan berharap pihak berkuasa atau kerajaan akan ambil perhatian berhubung masalah yang dihadapi penumpang.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.