- Iklan -
Berita

Larangan berjudi di China bakal manfaatkan Malaysia

Malaysia merupakan destinasi pilihan pelancong China, di mana bilangan ketibaan mereka ke dalam negara dijangka akan terus meningkat dalam masa terdekat.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kabus tebal kawasan bukit pelancongan popular Genting Highlands, Pahang yang meletakkan satu-satunya kasino Malaysia.
Kabus tebal kawasan bukit pelancongan popular Genting Highlands, Pahang yang meletakkan satu-satunya kasino Malaysia.

Undang-undang China yang mengharamkan aktiviti perjudian di seluruh negara itu kecuali Macau dijangka akan menggalakkan rakyat republik tersebut lebih aktif mengembara ke negara lain dan menjadikan judi sebagai salah satu aktiviti "pelancongan" mereka.

Larangan itu mula dikuatkuasakan selepas Parti Komunis China mengambil alih pentadbiran negara itu pada 1949 dan faktor ini dilihat mentransformasi industri judi dan pembangunan kasino di negara-negara Asia.

Faktor ini juga ditafsirkan sebagai satu peluang untuk menjana pendapatan, malah, kebanyakan daripada 340 kasino yang dibangunkan di Asia Tenggara dipercayai bertujuan untuk memikat kaki judi dari China supaya "melancong" ke negara tersebut.

Walaupun Malaysia hanya memiliki satu kasino yang operasinya dikendalikan oleh Kumpulan Genting di tanah tinggi Genting Highlands, kasino ini juga disifatkan sebagai antara premis perjudian terkemuka di rantau ini.

Statusnya yang cukup gah di Asia Tenggara turut menarik perhatian pengunjung bukan Islam sama ada pelancong tempatan mahupun dari luar negara.

Dari aspek pelancongan, Malaysia boleh disifatkan sebagai antara destinasi kegemaran warga China apabila bilangan kemasukan pelancong dari negara itu terus bertambah dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Berdasarkan data daripada statistik Pelancongan, Malaysia merekodkan seramai 3.1 juta kemasukan pelancong China pada 2019, ini menunjukkan peningkatan berbanding 2.94 juta yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kemasukan pelancong negara itu menyusut ketara pada 2020 kepada 405,000 disebabkan penularan Covid-19 yang menyaksikan banyak negara menutup sempadan antarabangsa.

Melangkah ke hadapan, sektor pelancongan Malaysia dijangka akan menerima manfaat apabila China menamatkan sekatan perjalanan bagi membolehkan rakyatnya mengembara ke luar negara.

Dalam pada itu, Genting Berhad merekodkan pendapatan RM4.12 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 75% daripada RM3.50 bilion yang dicatatkan tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa pada 24 November lalu, kumpulan itu berkata, lonjakan pendapatan itu kebanyakannya disumbang daripada bahagian riadah dan perhotelan di Malaysia dan Singapura.

Katanya, pemulihan operasi Resorts World Sentosa turut mencerminkan pemulihan sektor pengembaraan serantau, namun begitu ia masih belum mencapai tahap sebelum pandemik.

"Lantunan pendapatan perjudian didorong oleh kehadiran pelanggan premium yang menetap lebih lama," katanya.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie, berkata pertumbuhan pasaran kekayaan China akan mendorong warga negara itu untuk mengembara dan mencuba nasib di kasino sekitar Asia, termasuk Genting Malaysia.

"Mereka yang gemar berjudi angka tinggi pastinya akan berbelanja banyak di kasino di Asia.

"Genting Malaysia yang bersaing dengan negara jiran seperti Singapura, Australia dan FIlipina pastinya juga akan menerima sebahagian keuntungan ini," katanya.

Tambahnya, penting untuk Malaysia mengekalkan imej sebagai destinasi pelancongan selamat dan bersih bagi menggalakkan lagi kemasukan pengunjung termasuk dari China.

 
 
 
 
 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.