- Iklan -
Berita

Pasukan penyelamat akan gali lebih dalam untuk cari mangsa tanah runtuh

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor berkata ia dibuat selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 yang dijumpai pada kedalaman 'luar jangkaan' iaitu kira-kira 17 meter.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota penyelamat dalam usaha mencari baki mangsa yang masih hilang akibat tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 17 Disember. Gambar: Reuters
Anggota penyelamat dalam usaha mencari baki mangsa yang masih hilang akibat tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 17 Disember. Gambar: Reuters

Pasukan mencari dan penyelamat hari ini berkemungkinan besar akan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd berkata ini selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 semalam yang dijumpai pada kedalaman "luar jangkaan" iaitu kira-kira 17 meter di Sektor C (Riverside).

“Kita beranggapan apabila sudah menemui mangsa itu, akan ada lagi mangsa-mangsa yang berada di sekeliling. Rupa-rupanya tempat yang kita sudah gali mempunyai kedalaman lebih dalam lagi.

“Jadi hari ini kemungkinan besar kita akan buat pencarian (penggalian) lebih dalam lagi dan berharap dapat menemui mangsa lain,” katanya dalam sidang media di Batang Kali.

Beliau berkata pencarian hari ini yang disertai 106 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi, akan dilakukan secara berhati-hati, mengambil kira keadaan tanah di kawasan operasi yang berselut dan berair.

“Pencarian akan dilakukan di Sektor C (Riverside), Sektor A (Hillview) dan Sektor B (Farmview) namun tumpuan lebih banyak di Sektor C.

“Kita juga akan kawal jumlah kemasukan anggota yang berada di sana kerana lokasi berselut dan berair hinggakan jengkaut yang kita guna pun tersangkut, memaksa pasukan menggunakan teknik menebang pokok dan meletakkan kayu pada permukaan tanah untuk meneruskan kerja-kerja pengorekan,” katanya.

Sehingga kini 61 selamat, 26 terkorban dan tujuh masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berkenaan pada 2.42 pagi, Jumaat lepas.

Operasi mencari dan menyelamatkan lapan lagi mangsa yang hilang disambung semula pada 8 pagi ini selepas ditangguhkan pada kira-kira 12 tengah malam tadi.