Pelantikan semula bekas ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan sebagai pengerusi Felcra yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 16 Disember lepas, ditangguhkan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Memang sudah dimaklumkan kepada timbalan perdana menteri (Zahid) dan ditangguhkan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini.
Terdahulu Anwar ditanya sama ada pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi Felcra dilihat melanggar arahan Kabinet setelah diputuskan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lantikan politik dalam badan berkaitan kerajaan ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta pada 15 Disember lepas.
Pada 16 Disember lepas, Zahid memaklumkan pelantikan semula Jazlan sebagai pengerusi Felcra selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Bhd.
Anwar dalam pada itu berkata terdapat kekeliruan mengenai soal lantikan politik dalam badan berkaitan kerajaan.
"Cuma ada kekeliruan, saya tidak pernah menyatakan bahawa tidak boleh mana-mana orang terlibat politik itu menjadi pengurusan, tetapi (sebaliknya) mesti terikat dengan syarat-syarat, dan mesti ada kelayakan dalam bidang berkenaan," katanya.
Anwar berkata mungkin ada beberapa tokoh politik atau ahli Parlimen yang akan ditugaskan, tetapi kerajaan menetapkan kaedah tentang tahap keupayaan dan profesionalism serta soal pretasi sebelumnya, pematuhan kepada peraturan dan tatakelola yang ditetapkan.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan garis panduan berkaitan lantikan politik, beliau berkata kerajaan membuat keputusan menghentikan semua lantikan politik bagi memberi ruang untuk menilai prestasi supaya mereka yang dilantik kelak tunduk kepada garis panduan yang ditetapkan.
"Saya menangguhkan hal ini kerana ada isu-isu umpamanya syarikat induk hadapi masalah kewangan tetapi syarikat kecil keuntungan besar dan beri bonus besar, hal-hal ini harus kita cerakin dalam peraturan dan garis panduan," katanya.