- Iklan -
Berita

Najib tak sedia beri keterangan dalam perbicaraan Shahrir Samad

Bekas perdana menteri itu berkata beliau memerlukan peguam untuk bersamanya ketika memberi keterangan di mahkamah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya pada 8 Disember. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya pada 8 Disember. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak bersedia untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes Shahrir Samad hari ini tanpa kehadiran peguamnya.

Najib, 69, yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 berkata beliau tidak bersedia memberikan keterangan secara lisan tanpa kehadiran peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai peguam pemerhati.

“Saya mohon keterangan saya diberikan pada 5 Januari depan dan pada masa itu peguam saya (Shafee) ada kerana adalah penting untuk peguam saya ada bersama saya. Dia (Shafee) berada di luar bukan di Kuala Lumpur, jadi dia tidak dapat hadir hari ini,” kata Najib yang hadir memakai sut berwarna biru.

Najib berkata demikian pada perbicaraan kes bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada beliau (Najib) melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan pendakwa raya Rasyidah Murni Azmi memohon pertimbangan daripada mahkamah kerana Najib tidak dapat memberikan keterangan tanpa kehadiran peguamnya.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir tidak membantah perkara itu.

Hakim Muhammad Jamil Hussin kemudian memerintahkan Najib hadir ke mahkamah untuk memberikan keterangannya pada 5 Januari depan.

Perbicaraan kemudian bersambung dengan saksi pendakwaan ke-22, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurzahidah Yacop disoal balas pihak pembelaan.

Shahrir, 73, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas pengerusi Felda itu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.