- Iklan -
Berita

Hujan lebat berterusan dijangka landa Sarawak

Hujan berterusan diramal akan bermula hari ini sehingga esok.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana hujan di sekitar Dewan Undangan Negeri Sarawak. Hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok di negeri itu.
Suasana hujan di sekitar Dewan Undangan Negeri Sarawak. Hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok di negeri itu.

Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini sehingga esok, demikian menurut amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Berdasarkan amaran yang dikeluarkan pada 9 pagi ini, hujan sangat lebat tahap bahaya diramal melanda Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong manakala hujan lebat peringkat buruk berterusan dijangka berlaku di Sarikei serta Mukah membabitkan Tanjung manis dan Daro.

Sementara itu, hujan berterusan peringkat waspada diramal melanda Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta Limbang.

Amaran peringkat waspada juga dijangka berlaku di bahagian Pedalaman Sabah iaitu di Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort; Pantai Barat; Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat. Labuan turut diramal mengalami cuaca sama.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan di Facebook rasminya meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat negeri/daerah diaktifkan berikutan amaran tersebut.

Pada masa sama, jawatankuasa berkenaan diminta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Pastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu.

Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.