- Iklan -
Berita

Naratif perkauman, ekstremisme PH bakal makan diri?

Penganalisis berkata Pakatan Harapan kurang memahami naratif negara bangsa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penunggang motorsikal melewati bendera Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November di Tambun, Perak.
Seorang penunggang motorsikal melewati bendera Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November di Tambun, Perak.

Naratif ekstremisme dan perkauman yang ditujukan kepada orang Melayu oleh parti-parti kerajaan bagi menyerang Perikatan Nasional (PN) dijangka memakan diri, kata seorang pakar hubungan etnik.

Mansor Mohd Noor daripada Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, naratif perkauman itu diadakan bagi mempertahankan pembentukan kerajaan dengan kerjasama Umno yang didakwa melakukan kleptokrasi. 

"Mereka menafikan orang Melayu menolak Umno yang sudah menjadi simbol kleptokrasi, kemudian mereka mahu terbalikkan perbahasan ini kepada ekstremisme," katanya kepada MalaysiaNow. 

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan PH sudah tidak lagi menyebut soal kleptokrasi dan penyamun dalam kempen ceramah mereka di Padang Serai. 

Selain itu, usaha membawa naratif perkauman turut dijaja Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil yang bertemu pengurusan aplikasi TikTok bagi menghalang kandungan berbaur perkauman.

Di media sosial, penyokong PH turut mengaitkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) dengan ekstremisme.

Kedua-dua organisasi pendidikan itu dikelolakan oleh PAS.

Menurut Mansur yang mengkaji aspek hubungan kaum di Malaysia, pengundi Melayu beralih arah kepada PN kerana mereka mahukan tadbir urus baik dan integriti. 

Namun, satu lagi aspek mengapa berlaku peralihan undi Melayu kepada gabungan itu ialah naratif negara bangsa yang tidak difahami pemimpin PH. 

"Mereka yang mengundi PAS bukanlah orang masjid atau tok lebai," katanya.  

“Mereka ialah rakyat Malaysia seperti kita semua. 

“Cuma mereka mahu pentakrif negara bangsa yang jelas dan menolak naratif multikulturalisme yang dibawa oleh DAP."

Katanya, tindakan PH selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu seperti menukar program Pusat Latihan Khidmat Negara dan Biro Tata Negara, selain menyentuh subjek Tamadun Islam Tamadun Asia Tenggara memberi kesan kepada pengundi Melayu.

"Ini semua usaha pembinaan bangsa yang dibuang oleh PH," tambahnya. 

Menurutnya, naratif tersebut dimainkan utamanya oleh pemimpin PKR dan Amanah. 

DAP, menurut pemerhatiannya, tidak banyak menyentuh hal tersebut. 

Sementara itu, penganalisis politik Nizam Mahshar berkata, PH mengakui sentimen, perasaan dan maruah Melayu dipinggirkan dalam polisi dan pendirian gabungan itu.

Ia boleh dilihat menerusi kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang sebelum meminta pemimpin dan penyokong PH mendalami sensitiviti Melayu. 

"Walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada pernyataan Rafizi ini adalah satu pernyataan sikap dan pendirian sebenar atau satu lagi 'sound-byte' politik beliau untuk meraih undi waktu pilihan raya," katanya.

Menurut Nizam yang pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Institut Masa Depan Malaysia, kerajaan campuran digesa menumpukan kegusaran dalam sektor seperti pemilikan aset, hartanah, pengambilan pekerjaan dalam sektor swasta dan penguasaan pengurusan kanan syarikat dan industri yang mana masyarakat Melayu menjadi minoriti.

Beliau memberi amaran sentimen Melayu tidak boleh didiamkan seperti memberi duit tambahan kepada masjid, program tahfiz atau acara-acara keagamaan.

"Masalah ini melibatkan perkara-perkara struktural dan fundamental," tambahnya.  

Sementara itu, penganalisis politik daripada UiTM, Ismail Sualman berkata, orang Melayu dilihat tidak bersetuju dengan pembentukan kerajaan sekarang yang dilihat tidak serasi dan dibuat secara terpaksa.

"Itu antara alasan sokongan Melayu lebih menebal dalam soal Melayu dan Islam berbanding campuran parti," katanya.

Ismail menambah, PH tidak boleh mengharapkan orang Melayu menerima kerajaan campuran kerana perkara itu belum serasi dalam jiwa politik Melayu.

Dalam pada itu, Mansur turut menegur penggunaan istilah yang salah oleh sesetengah penganalisis politik, termasuk istilah ekstremisme.

"Mereka membaca buku dan fikiran Barat dan menggunakannya bagi menggambarkan keadaan tempatan. Mereka tidak boleh faham kaum Melayu dari kaca mata Barat.

"Di Malaysia, kita ada cara tersendiri untuk menyusun masyarakat yang berbeza dengan Barat," katanya.