- Iklan -
Berita

Pertemuan antara PM dan pemimpin negeri tak sepatutnya dipolitikkan, kata penganalisis

Mereka berkata pertemuan perdana menteri dengan pimpinan adalah perkara biasa.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Putra di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.
Perdana Putra di Putrajaya yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.

Pertemuan antara pemimpin negeri dengan perdana menteri untuk membincangkan hal ehwal ekonomi dan kewangan termasuk isu berkaitan negeri tersebut adalah perkara biasa, kata beberapa penganalisis.

Mereka berkata, walaupun daripada parti politik berbeza, kedua-dua pihak itu tetap perlu mengadakan pertemuan dan berbincang bagi memastikan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan kekal kukuh.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir, berkata ini kerana Malaysia mengamalkan sistem persekutuan dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk memberi perhatian kepada permintaan termasuk dari segi peruntukkan kepada kerajaan negeri.

Katanya, ini juga selari dengan amalan demokrasi dan pertemuan antara kedua-dua pihak itu turut mencerminkan sikap profesional apabila mereka ketepikan ideologi parti masing-masing demi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

"Tiada masalah, kita amalkan sistem persekutuan.

"Menjadi tugas kerajaan persekutuan membantu dan menyalurkan peruntukan yang wajar dan sesuai kepada kerajaan negeri tanpa mengira daripada parti mana," katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli meluahkan rasa kecewa terhadap Menteri Ekonomi Rafizi Ramli apabila mempolitikkan pertemuan dua hala antara beliau dengan Anwar Ibrahim.

Shukri menegaskan bahawa pertemuan yang dijemput oleh perdana menteri itu bukan untuk "meminta sedekah" sebaliknya bertujuan membincangkan hal ehwal berkaitan perkembangan dan pembangunan Perlis.

Penganalisis politik Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun, berkata pertemuan seumpama itu juga bukanlah "perkembangan" baru memandangkan ia sering juga berlaku sebelum ini.

"Saya ingat sebelum ini Najib Razak dan Lim Guan Eng bertemu di Putrajaya dan Pulau Pinang.

"Ini sekadar membincangkan isu-isu yang berbangkit, tiada perasaan dendam," katanya.

Ditanya mengenai layanan dua darjat antara pemimpin pusat dan kerajaan negeri, James Chin dari University of Tasmania, berkata, perkara itu juga tidak dinafikan akan terus berlaku.

Katanya, sudah menjadi amalan untuk kerajaan persekutuan memberi layanan "lebih" kepada negeri yang dikuasai parti sama dalam usaha mempromosi parti mereka supaya tampil lebih positif di mata rakyat.

"Dulu selalu kita dengar Kelantan sering merungut bahawa berlaku diskriminasi ketika mereka bermusuh dengan Umno sebelum ini.

"Sudah tentu akan ada layanan antara dua darjat. 

"Pastinya Anwar mahu mempromosi Pakatan Harapan (PH) terutama apabila negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang dipimpin PAS akan menggunakan dana kerajaan bagi menyokong agenda politik mereka," tambah Chin.

Pada masa sama, Jeniri berkata, layanan antara dua darjat ini juga bukan sekadar di peringkat persekutuan tetapi juga berlaku di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila kawasan pembangkang dilihat kurang mendapat perhatian berbanding kawasan yang diwakili ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan.

"Sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, ini adalah sesuatu yang tidak patut berlaku," tambah beliau.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.