- Iklan -
Berita

Bekas pemain gitar di gereja, kini memetik sape kepada dunia

Anderson Kalang mengenang permulaan kerjayanya bermain sape sehingga membawanya ke peringkat antarabangsa.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Anderson Kalang memeriksa bunyi sape, salah satu dari alat muzik tradisional Sarawak di rumahnya di Kuala Lumpur.
Anderson Kalang memeriksa bunyi sape, salah satu dari alat muzik tradisional Sarawak di rumahnya di Kuala Lumpur.

Pemain sape profesional Anderson Kalang mengenang satu hari lebih 20 tahun lalu ketika rumahnya dikunjungi sepupunya ketika musim cuti persekolahan.

Anderson merupakan seorang pemain gitar ketika itu, selain menganggotai  pasukan muzik gerejanya. Sepupunya, yang suka menyaksikannya bermain gitar, meminta Anderson untuk mengajarnya bermain gitar.

“Boleh, tapi kamu mesti ada gitar kamu sendiri,” katanya kepada sepupu yang masih di bangku sekolah.

“Tidak bolehkah saya menggunakan gitar Abang?” soal sepupunya.

“Tidak boleh. Gitar saya, saya punya. Gitar kamu, kamu punya.”

Sepupu Anderson, Hezekiah Asim, terbukti seorang pelajar yang berkebolehan dan cepat menguasai apa yang diajar. 

Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, Anderson menyedari sudah lama Hezekiah tidak berlatih.

“Apa sudah jadi? Kenapa tidak main gitar yang dibeli oleh ibu kamu?”

“Tak apalah abang, saya rasa mahu main sape. Saya fikir sape lebih menarik,” jawab sepupunya.

Masa berlalu dengan pantas, dua dekad selepas itu, Anderson masih aktif bermain gitar di gereja dan membuat persembahan sebagai hobi. 

Dia juga bergiat dalam bidang seni kebudayaan dengan menari tarian ulu, sejenis tarian adat bagi etnik-etnik tertentu dari kawasan pedalaman Sarawak.

“Bila menari, kita menari dengan alunan sape. 

“Dalam tujuh tahun lepas, saya memilih untuk belajar main sape dari sepupu saya.”

Tambahnya, sekitar awal tahun 2015, beliau belajar sape dengan sepupunya, Hezekiah Asim yang ketika itu sudah pun dikenali sebagai pemain sape profesional dalam komuniti pemain instrumen tradisional tersebut.

“Sampai sekarang saya terus bermain sape sehingga gitar pun dah berhabuk.”

Persembahan pertama jadi titik permulaan

Bercerita lebih lanjut, anak kelahiran Miri, Sarawak itu memberitahu selepas lebih enam bulan belajar bermain sape, dia dipelawa untuk membuat persembahan di atas pentas bersama sepupunya di Borneo Christian Music Festival.

Bagi Anderson, persembahan itu menjadi titik permulaan untuk meneroka potensi dirinya dalam membuat seni persembahan di atas pentas dan keyakinan untuk tampil di hadapan penonton.

Selepas membuat persembahan, dia kembali ke Kuala Lumpur. 

Sejak itu, dia mula berjumpa dengan beberapa pemain sape di yang menetap di kawasan Lembah Klang yang disifatkannya sangat membantu dalam memberi penerangan dan maklumat tambahan mengenai alat muzik tradisional itu.

“Kita mula bangunkan komuniti dan bina rangkaian (network) sesama sendiri. Saya sedar satu hal bahawa ketika itu sekitar tahun 2016, komuniti pemain sape di Malaysia sangat senyap (tak aktif). Semua buat kerja dan bergerak sendiri. Masing-masing cuba untuk pamerkan individualiti mereka.

“Tetapi kami di KL mahu gabung bersama dan jadikan alat muzik sape ini bukan sekadar instrumen tapi satu seni untuk mewujudkan kesedaran tentang budaya kita di Borneo.”

Anderson berusia 42 tahun membesar di Miri, Sarawak. 

Sejak bergiat aktif bermain sape, dia sudah menyertai pelbagai persembahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk menghadiri ujibakat untuk program terkemuka “Asia Got Talents” pada pertengahan tahun 2016 bersama rakan baiknya, Saufi Aiman yang meninggal dunia tahun lalu.

Anderson juga merupakan salah seorang pemain muzik dalam lagu tema “Keluarga Malaysia” sewaktu pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pada Mac lalu, dia tersenarai daripada 257 pemuzik sape yang berjaya mencipta sejarah apabila persembahan mega mereka mencatat rekod baru dalam Malaysia Book Of Records (MBR) sebagai jumlah pemain sape teramai bersempena penutupan program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.

Selain persembahan-persembahannya di pentas dan depan khalayak, Anderson juga rancak menyunting alunan-alunan sape kepada genre muzik lain termasuk jazz, rock dan EDM (electronic dance music) di sebuah bilik yang diubahsuai khas menjadi studio di kediamannya.

Anderson juga mengajar beberapa pelajarnya bermain sape. 

Sepanjang proses belajar, dia seringkali menggalakkan mereka supaya berjumpa dengan pemain-pemain sape yang lain untuk meneliti teknik-teknik yang berbeza.

“Bekerja dalam komuniti (sape) adalah cara paling terbaik. Tak kisah dari aspek apa,tapping atau strumming. Tapi kita mahu anak-anak muda yang belajar sape ini belajar tentang kehidupan. Kisah di sebalik lagu-lagu tradisi sape.

“Belajar sape tak ada macam zaman-zaman dulu lagi. Kalau nak belajar orang akan tanya, kamu anak siapa? Suku mana? Taboo begitu tidak ada lagi.”

Sape 

Di ruang tamu rumahnya, Anderson membelek satu persatu koleksi sape yang dimilikinya. 

Dengan khusyuk meneliti setiap satu alat muzik kesayangannya itu, beliau membuka kisah di sebalik koleksi sape tersebut.

Sehingga kini, terdapat enam buah sape dalam simpanannya dan sebanyak empat sape yang mempunyai nilai sentimental yang kuat terhadap dirinya.

Seiring dengan falsafah muzik sape yang berkisarkan tentang penyembuhan jiwa dan rohani, Anderson menemui ketenangan dengan bermain sape apabila mendengar alunan indah daripada alat muzik itu.

Sementara itu, terdapat satu sape yang digelarnya sebagai “sape cari rezeki” di mana sape itu seringkali dibawa untuk membuat persembahan dan pertandingan.

Manakala untuk sape pertamanya, dibuat khas oleh pembuat sape terkemuka, Mat Linggi. 

Menurut Anderson, hasil kerja Mat Linggi amat eksklusif dan mengambil masa yang agak lama sekitar satu tahun untuk disiapkan kerana ketelitian dan kualiti kerja yang amat halus.

“Masa itu sape masih boleh dibeli dengan harga yang berpatutan, sekitar RM600. Sekarang harganya makin tinggi.”

Ketika ditanya, bagaimana dia mendapatkan sape pertama miliknya, Anderson ketawa terbahak-bahak. 

“Masa itu saya minta Hezekiah ajar saya main sape. Dia kata, boleh abang. Tapi kamu kena ada sape sendiri.

“Saya fikir, eh macam pernah dengar ayat itu,” jawabnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.