- Iklan -
Berita

Fahami masalah kami, penternak ayam beritahu Rafizi

Mereka berkata menteri sepatutnya menyiasat mengapa harga ayam meningkat begitu tinggi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penternak memeriksa anak ayam di sebuah ladang di Manjung, Perak. Gambar: Bernama
Penternak memeriksa anak ayam di sebuah ladang di Manjung, Perak. Gambar: Bernama

Penternak ayam menggesa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memahami masalah sebenar isu ternakan yang mereka hadapi, selain turut menyifatkan kenyataannya supaya pengguna mengurangkan makan ayam sebagai mengambil jalan mudah.

Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd Mazlina Kamarudin berkata, penternak tempatan berdepan masalah membabitkan isu kos dan gaji sehingga menganggu aliran tunai.

"Walaupun apa yang dikatakan itu betul tetapi saya kecewa mereka (kerajaan) tidak ajak penternak tempatan berjumpa untuk tahu apa masalah kami," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, seruan untuk mengurangkan makan ayam akan menyebabkan permintaan turun. 

Beliau berkata penternak pula akan rugi kerana haiwan itu tidak boleh bertahan lama (highly perishable item). 

Katanya, ramai penternak masih belum menerima subsidi daripada kerajaan sejak September lalu. 

Mereka turut dibebani dengan keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 yang diumumkan pada tahun ini. 

Pada 23 Disember lalu, Rafizi menyeru pengguna untuk kurangkan makan ayam jika harga bahan itu terlalu tinggi.

"Kalau harga ayam itu sudah mahal sangat, kita patut kurangkan makan ayam," katanya dalam satu sidang media baru-baru ini. 

Beliau kemudiannya berkata di Twitter bahawa beliau merujuk kepada "keperluan untuk sama-sama menangani ‘demand & supply’ side supaya permintaan pengguna yang lebih anjal menjadi satu kuasa untuk mempengaruhi juga kadar harga barang naik."

Sebagai rekod, Malaysia ialah negara pengguna ayam tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia dengan penggunaan per kapita tahunan sekitar 46.8kg. 

Ayam merupakan sumber utama protein untuk rakyat Malaysia selain telur dan ikan.

Menurut Mazlina, kos anak ayam dahulu berlegar sekitar RM1.50 untuk seekor, namun kini sudah meningkat kepada RM3, selain harga dedak yang menyaksikan kenaikan sejak pandemik Covid-19. 

"Mengapa tidak ditegur integrator dan pengeluar anak ayam supaya jual anak ayam dengan murah?" soalnya.

Harga ayam mencecah RM10 sekilogram pada April lepas. Dalam usaha membasmi kenaikan harga, kerajaan pada Jun mengharamkan eksport ayam terutama ke Singapura. 

Sementara itu, seorang pengusaha yang enggan dinamakan berkata, kerajaan dilihat mensabotaj industri penternakan ayam menerusi kenyataan Rafizi. 

Katanya, menteri wajar menyiasat mengapa harga ayam terlalu tinggi. 

"Adakah terdapat orang tengah yang mengambil kesempatan membuat duit dan adakah dedak ini dimonopoli syarikat besar?" katanya. 

Menurut sumber itu, menteri turut berkuasa menyemak sama ada cukai dikenakan untuk makanan mentah ayam yang mana ia boleh dikurangkan bagi menurunkan harga.

Dalam pada itu, Mazlina berkata masih tiada hala tuju jelas daripada kerajaan berhubung nasib industri itu.

"Apakah akan ada harga kawalan baru pada tahun depan? kami rugi dengan harga siling sekarang iaitu RM9.40 sekilogram," katanya.

Menurut Mazlina, tidak adil jika kerajaan meletakkan harga siling tanpa menetapkan harga lantai.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.