- Iklan -
Berita

Sekatan dan larangan penceramah di masjid, TV pasca PRU15 cetus persoalan

Sebilangan pendakwah telah disekat oleh masjid sementara jawatankuasa sebuah masjid di Pulau Pinang menuduh majlis agama melanggar peraturan pemilihan anggotanya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mendengar khutbah sebelum solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad di Sepang.
Orang ramai mendengar khutbah sebelum solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad di Sepang.

Timbul persoalan mengenai beberapa siri pendakwah dilarang muncul di televisyen dan berceramah di masjid sejak pembentukan kerajaan dengan yang terbaru penyingkiran pengerusi masjid di Pulau Pinang yang dipilih melalui proses undian majoriti. 

Sebelum ini, penceramah terkenal Mohd Ridhuan Tee Abdullah disekat menjadi panel dalam program Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

Malah, siaran program bual bicara Islam itu pada 14 Disember lalu turut dibatalkan kerana penampilannya sebagai panel tetamu. 

Ridhuan merupakan antara salah seorang panel penceramah tetap dalam program tersebut sejak disiarkan pada awal tahun 2000. 

Sementara itu di Pahang, seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilarang berceramah di sebuah masjid di Jengka yang menjadi tempatnya aktif bersyarah sejak tiga tahun lalu. 

Majlis agama negeri itu menyekat Adun Chenor Mujibur Rahman Ishak membuat kuliah agama meskipun beliau menegaskan tidak pernah menyentuh unsur politik dalam ceramah. 

Di Pulau Pinang pula, pihak pengurusan sebuah masjid yang baru berusia dua tahun sejak penubuhannya meluahkan kekecewaan dengan mendakwa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) melanggar peraturan dan ketetapan yang dilaksanakan melalui proses pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) sesebuah masjid di negeri itu. 

Ini ekoran isu tular yang berlaku di Masjid Bandar Tasek Mutiara, Simpang Empat yang menyaksikan peletakan jawatan keseluruhan 14 orang AJK masjid berkenaan. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, salah seorang ahli jawatankuasa tersebut memberitahu ianya berpunca apabila MAIPP tidak akur kepada keputusan pemilihan oleh jemaah dan kariah masjid pada Ogos lalu. 

"Ustaz An Nur dipilih secara demokrasi sebagai pengerusi jawatankuasa. 

"Tetapi individu yang dipilih untuk jawatan kedua dan ketiga diangkat sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tanpa alasan serta penjelasan daripada pihak MAIPP. 

"Ini mengelirukan kariah kerana ramai yang mempersoal mengapa pemilihan Ustaz An Nur disingkirkan," katanya kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan. 

MalaysiaNow difahamkan peletakan jawatan kesemua AJK tersebut berkuatkuasa pada 1 Januari depan. 

Pada Isnin, tular satu video bersurai 11 minit menunjukkan seorang lelaki membuat pengumuman tentang peletakan jawatannya sebagai AJK masjid diikuti dengan beberapa nama lain pada pengumuman yang sama. 

Mengulas lanjut, AJK tersebut berkata Ustaz An Nur bertanding bagi jawatan pengerusi tanpa pencabar lain menjadikan undi yang diterimanya daripada jemaah masjid mencatatkan jumlah undi paling tertinggi. 

"Sebenarnya ini proses yang panjang (pemilihan). Kami sebagai jawatankuasa ni cuba untuk mengikuti apa yang majlis agama tetapkan. Kita buat pendaftaran ahli kariah, dah banyak masa terbuang di situ. 

"Upah orang untuk masukkan nama-nama kariah dalam database semata-mata untuk buat pemilihan ini. Tapi akhirnya, keputusan pemilihan ini tak diikuti." 

Bercerita lebih lanjut, beliau memberitahu sejak pembukaan masjid tersebut pada tahun 2020, mereka menerima beberapa aduan yang disifatkan terlalu "melampau" kerana menyerang peribadi individu berbanding membuat aduan tentang keadaan fasiliti masjid. 

"Ustaz An Nur ni sejarah latar belakangnya memang ahli PAS, tetapi perjalanan kuliah dan ceramahnya tiada langsung unsur politik. 

"Masjid kami pun, masa buka puasa tahun lepas menjemput semua pemimpin-pemimpin parti politik di sini hadir. DAP, PAS dan Umno juga hadir," katanya sambil menambah alasan parti politik seharusnya tidak menjadi isu. 

Katanya, sehingga kini kenyataan balas yang diberikan oleh Pengerusi MAIPP Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman masih tidak kukuh dan jelas. 

Beliau yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang hanya menghantar wakil daripada majlis agama tersebut untuk berbincang mengenai permasalahan itu dengan AJK masjid berkenaan. 

"Sepanjang proses ini beliau hanya gunakan pejabat agama dan MAIPP pun langsung tak nak jumpa dengan kami. 

"Keputusan untuk letak jawatan ini dibuat tanda solidariti pertamanya kepada ahli kariah yang memilih dan kedua kepada Ustaz An Nur yang dipilih." 

Siri sekatan dan larangan terhadap penceramah ini turut mendapat perhatian ramai termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyididin Yassin yang berharap pihak berwajib tidak mengambil sebarang tindakan kepada golongan itu semata-mata kerana berlainan fahaman politik. 

"Pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam. 

"Demikian juga pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Muhyiddin , beliau menyedari ramai pihak yang berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan selebriti terkenal memberikan sokongan secara terbuka kepada PN pada PRU15 lalu. 

Bagaimanapun, katanya, terdapat juga beberapa pihak lain yang turut menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. 

"Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik. 

“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.