- Iklan -
Berita

Zahid yakin MoU antara gabungan parti kerajaan akan kekal lama

Pengerusi BN itu berkata perjanjian itu memastikan agama Islam, hak orang Melayu, bahasa kebangsaan dan raja Melayu tidak dipertikaikan dan mesti dipatuhi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya dari Umno Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan pemimpin parti kerajaan selepas pemeteraian MoU di Putrajaya pada 16 Disember. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya dari Umno Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan pemimpin parti kerajaan selepas pemeteraian MoU di Putrajaya pada 16 Disember. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yakin perjanjian persefahaman kerjasama antara gabungan parti politik dalam kerajaan baru-baru ini mampu bertahan untuk tempoh jangka panjang.

Presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata pihaknya bersetuju dengan perjanjian itu ketika perundingan kerana ia memiliki elemen mempertahan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata ketika rundingan dilakukan dengan Pakatan Harapan (PH), elemen itu menjadi tajuk utama BN yang ingin memastikan bahawa perkara berkenaan tidak boleh dipertikai malah harus dipatuhi.

"Apabila perjanjian itu ditandatangani oleh pelbagai pihak, perkara itu juga tidak pernah dikompromi malah dijadikan sebagai antara asas pertama kepada perjanjian itu bukan sahaja untuk waktu ini tetapi untuk jangka panjang," katanya dalam program wawancara khas "Jawab, Saya Tanya!" bertajuk Rekonsiliasi Politik: Apa Untung Pada Negara? yang bersiaran secara langsung di laman Facebook dan YouTube terbitan NRChannel TV malam ini.

Pada 16 Disember lepas, lima gabungan politik utama iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua Jr dengan disaksikan oleh semua pengerusi gabungan terbabit.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.