- Iklan -
Berita

Agong pun terlucut jawatan jika didakwa, inikan pula TPM, kata Mahathir

Bekas perdana menteri mempersoalkan apakah jawatan timbalan perdana menteri ‘lebih kanan’ sehingga perlu mendapat layanan lebih baik dari Yang di-Pertuan Agong.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini memetik pindaan Perlembagaan yang diluluskan semasa penggal pertamanya sebagai perdana menteri, di samping mempersoalkan pelantikan kontroversi Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri walaupun presiden Umno itu berdepan dengan pelbagai pertuduhan jenayah.

Pentadbiran Mahathir yang menghapuskan kekebalan raja-raja daripada sebarang tindakan bagi kes jenayah pada 1993, mengatakan peruntukan dalam Perlembagaan menyebut peranan Yang di-Pertuan Agong akan terhenti dalam pentadbiran kerajaan jika didakwa melakukan kesalahan.

"Ia berbunyi seperti berikut: 'Jika Yang di-Pertuan Agong dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV dia hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong'," kata Mahathir memetik Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan.

“Jelas sekali didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah adalah sangat serius sehingga seseorang seperti Agong perlu berhenti menjalankan peranannya sebagai Agong.

"Ia (Perlembagaan) tidak menyebut bahawa Agong perlu didapati bersalah sebelum berhenti menjalankan tugasnya. Didakwa di mahkamah adalah jelas satu perkara yang serius di mana Perlembagaan menetapkan peranannya juga boleh terlucut," tambahnya.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan jenayah berkaitan salah guna dana Yayasan Akalbudi, selain 40 lagi pertuduhan rasuah visa luar negara yang kemudiannya dibebaskan daripada pertuduhan tersebut awal tahun ini.

Walaupun beliau masih berdepan pertuduhan jenayah, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetap melantik presiden Umno itu sebagai timbalannya selain dilantik memegang portfolio kemajuan desa dan wilayah yang merupakan portfolio penting dalam Kabinet.

Zahid memainkan peranan penting melonjakkan Anwar untuk menduduki jawatan perdana menteri, selepas beliau berjaya menyekat bantahan pemimpin Umno dalam usahanya berganding bahu dengan pengerusi Pakatan Harapan (PH) selepas Parlimen digantung sebaik pilihan raya umum November lalu melabuhkan tirai.

Awal bulan ini, Mahathir berkata pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri menunjukkan Malaysia tidak berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

"Jika kita nak bersihkan negara, kita tak boleh pilih orang yang dianggap melakukan jenayah," katanya kepada pemberita pada 7 Disember, beberapa hari selepas pengumuman barisan Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Ya, dia belum terbukti bersalah, tetapi jika seseorang itu dihadapkan walaupun dengan satu kes, itu sudah menunjukkan dia tidak layak jadi pemimpin.”

Mahathir berkata, dengan keadaan sedemikian beliau tetap diberikan jawatan kedua tertinggi di negara ini.

“Adakah timbalan perdana menteri lebih kanan peranannya sehingga perlu dilayan lebih baik daripada Yang di-Pertuan Agong?

“Saya fikir, perlu ada reformasi untuk ini,” katanya, sebelum menyindir pengkritik yang mendesaknya supaya bersara.

"Baiklah. Saya akan jaga cucu sekarang. Abaikan apa yang saya tulis,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi