Kerajaan Selangor setakat ini tidak mengeluarkan sebarang arahan penutupan operasi di tapak-tapak perkhemahan di negeri itu susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lepas.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata kerajaan negeri tidak perlu membuat keputusan yang panik dan tergesa-gesa, namun pihaknya kini sedang menggariskan beberapa panduan di tapak-tapak perkhemahan di negeri itu.
“Langkah-langkah akan kita ambil dan teliti kerana sebelum ini memang mereka tidak memerlukan sebarang perlesenan, jadi kita kena semak balik. Bukan ke tahap itu (tutup tapak perkhemahan), sudah pasti kejadian ini berlaku amat menggemparkan.
“Kita kena bertindak dan melihat secara menyeluruh, kita tidak boleh buat satu keputusan yang panik dan tergesa-gesa sebab ia bukan berlaku tiap tahun, maknanya berlaku sekali sekala sebab itu saya perlukan laporan,” katanya kepada pemberita selepas majlis "Capacity Building" Gerak Gempur SPM 2022, di Shah Alam semalam.
Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenai insiden terbabit, namun laporan awal yang diperoleh daripada pihak JMG dan bomba menyatakan bahawa kejadian itu disebabkan pergerakan air dalam tanah dari kawasan tebing tinggi ke bawah.
“Kerja-kerja tanah memang tidak ada apa-apa aktiviti kecuali di bawah, di bawah itu pun tanah hak milik persendirian dan jauh dari cerun terbabit serta runtuhan itu berlaku akibat aliran dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, pemilik tapak perkhemahan Sea of Cloud K.P Chong berkata bagi menjaga keselamatan pengunjung, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di sekitar kawasan miliknya yang terletak di Hulu Langat.
"Kita selalu melakukan pemeriksaan keadaan tanah di kawasan ini dan semasa musim hujan kita tidak membuka tapak perkhemahan ini kepada orang luar sebagai langkah keselamatan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Chong berkata Sea of Cloud yang juga sebuah dusun durian hanya menerima kira-kira 40 ke 50 pelanggan pada satu-satu masa selain pihaknya masih menutup operasi tapak perkhemahan itu sebagai langkah berjaga-jaga sehingga keadaan cuaca kembali baik susulan tragedi di tapak perkhemahan Father's Organic Farm.
Tragedi kira-kira pukul 2.30 pagi di tapak perkhemahan itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan.