- Iklan -
Berita

Universiti bukan lagi pilihan utama bagi sebahagian lepasan sekolah

Belia yang membuat keputusan untuk tidak menyambung pengajian di universiti berkata mereka masih boleh menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengunjung mendapatkan maklumat di sebuah reruai festival kerjaya yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Oktober.
Seorang pengunjung mendapatkan maklumat di sebuah reruai festival kerjaya yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Oktober.

Nurul Aifaa Shahbudin memulakan harinya dengan menghadiri kelas dalam talian selama dua jam untuk mempelajari kursus "coding" (pengekodan) bagi pemula.

Tahun 2023 akan menjadi tahun kedua dia bergelar pelajar dalam talian apabila memilih untuk tidak melanjutkan pengajian ke universiti selepas tamat tiagkatan lima pada tahun 2020.

Meskipun keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) agak cemerlang dan mendapat 6A pada tahun 2021, Aifaa tekad untuk meneroka peluang cita-cita dan akademik di luar universiti.

Sebelum menyertai kelas pengekodan, dia juga mendaftarkan diri mempelajari bahasa Mandarin secara dalam talian dengan yuran berjumlah RM260 sebulan.

Kini, dia berada dalam peringkat pertengahan penguasaan bahasa Mandarin dan boleh bertutur dengan rakan-rakan terdekat.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Aifaa berkata dia mengikuti kursus pengekodan untuk belajar membina sistem data kepada pelanggan yang berbeza jenis perniagaan dan permintaan.

“Kerja pertama saya buat hasil belajar coding adalah bangunkan satu sistem untuk pendaftaran pelajar dan data ibu bapa, guru serta maklumat tambahan yang diminta oleh seorang pengusaha tadika.

“Selepas kerja itu, saya mula dapat ramai pelanggan dalam kalangan usahawan yang mahukan sistem mereka sendiri untuk kumpul dan simpan data pelanggan.”

Sementara itu di Negeri Sembilan, seorang pemuda turut menjadikan kelas bahasa asing secara dalam talian sebagai pusat pengajiannya selepas tamat persekolahan.

Mohd Fitri pula giat menjadikan bahasa Korea dan Jepun sebagai kerjaya meskipun tiada sebarang kelulusan akademik.

Dia yang kini berumur 18 tahun menguasai bahasa asing itu sejak April lalu dengan gurunya yang merupakan warganegara Korea Selatan.

Manakala penguasaan bahasa Jepun sudah bermula sejak di sekolah menengah lagi.

Kini, Fitri sudahpun mempunyai pelanggan tetap terdiri daripada golongan profesional yang memerlukan khidmatnya sebagai penterjemah ketika mesyuarat dalam talian atau bersemuka.

“Apa yang saya buat, habiskan satu modul pembelajaran untuk kenal huruf-huruf dalam bahasa Korea sebelum mula bertutur secara fasih melalui latihan dan menonton rancangan televisyen daripada negara itu.

“Saya juga mula mendapat tawaran menterjemah sari kata drama-drama dari Korea untuk syarikat terkemuka seperti Netflix dan stesen televisyen tempatan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Fitri merupakan pelajar cemerlang di sebuah sekolah berasrama penuh dengan mencatatkan 9A daripada 10 mata pelajaran yang diambil dalam SPM lepas.

Kedua-dua anak muda ini antara ribuan pelajar yang merombak naratif cita-cita dan akademik selepas tamat persekolahan. Mereka tidak mengikat diri daripada mengikuti “skrip lama”untuk menentukan laluan kerjaya masing masing.

Lazimnya, rata-rata individu lepasan sekolah yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran  ke universiti akan meneruskan pengajian di peringkat asasi (A level), diploma atau setaraf sebelum melanjutkan lagi pengajian ke peringkat ijazah pertama dan seterusnya.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, negara-negara di seluruh dunia sudah mula mengesan bilangan besar lepasan sekolah enggan melanjutkan pengajian ke universiti.

Sebaliknya menjadikan kelas-kelas alternatif di luar universiti sebagai persediaan untuk menempuh peluang kerjaya.

Pada tahun 2019, dilaporkan terdapat lebih daripada 300,000 bekas pelajar tingkatan enam di seluruh England, Wales dan Ireland Utara.

Daripada jumlah tersebut, hanya dua pertiga yang merasakan kepentingan untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Sementara yang lain menyatakan keraguan terhadap universiti mengatakan ianya hanya menambah beban hutang dan merugikan masa memandangkan tempoh pengajian yang panjang sekurang-kurangnya enam semester atau tiga tahun.

Di Malaysia turut mempunyai data yang sama apabila Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.

Data tersebut juga dikesan pada tahun 2019 dan dipercayai berterusan pada tahun 2020 hingga 2022.

Skeptikal dengan universiti

Mengulas lanjut, Aifaa dan Fitri saling mengakui mereka bersikap skeptikal dengan hala tuju pengajian di universiti yang disifatkan “berada di takuk yang lama” dan tidak mahu membuat perubahan seiring dengan peredaran zaman digitalisasi.

Menurut Fitri, ini terutamanya melibatkan kursus-kursus pengajian dan mod pembelajaran yang ketat dan panjang.

Selain kos untuk menyempurnakan ijazah pertama sehingga hampir RM40,000 termasuk bayaran yuran dan sara diri.

Setakat ini, Fitri dan Aifaa memerlukan lebih kurang RM6000 setahun untuk membayar yuran kelas-kelas yang dihadiri mereka berbanding RM18,000 hingga RM23,000 yang diperlukan bagi mahasiswa di universiti bergantung kepada jurusan maisng-masing.

Menurut Aifaa pula, bergelar mahasiswa sudah menjadi impian hidupnya sejak di bangku sekolah.

Tetapi status keluarga yang tidak mempunyai pendapatan tinggi selain adik beradik yang ramai memaksanya memecah impiannya dan memilih jalan alternatif dengan belajar sendiri secara dalam talian tanpa mendapat sebarang kelulusan universiti.

"Saya mungkin tak ada kelulusan tetapi pengalaman dan rekod pembinaan sistem-sistem pangkalan data untuk pelanggan disimpan selama ini akan jadi kayu ukur perjalanan karier saya.”

Bagi Fitri, dia tidak mahu tersekat dengan dilema yang disifatkannya sebagai “tradisi para graduan” kerana menanggung beban hutang di usia muda selain hanya menambah lambakan bilangan graduan sepanjang tahun.

Katanya, sebagai anak muda yang mahu merealisasikan hasrat rakyat Malaysia terus maju dan membangun, dia perlu berani keluar daripada naratif cita-cita yang menjadi pegangan hampir semua pelajar sekolah di seluruh negara.

“Orang mungkin lihat saya sekadar belajar bahasa, tapi tidak tahu dengan keberadaan saya dalam mesyuarat sebagai penterjemah sudah membantu banyak syarikat yang ‘dibuli’ hanya kerana kekangan bahasa.

“Sebelum ini banyak syarikat yang tidak mendapat perjanjian yang adil kerana komunikasi yang tidak lengkap sewaktu perbincangan. Apabila saya ada dalam sesi dalam talian sebagai penterjemah, saya boleh terangkan dengan baik kepada pegawai-pegawai yang berbahasa Melayu. Dengan cara itu mereka tahu bagaimana membuat pertimbangan dan rundingan.”

Tambahnya lagi, tiada masalah dengan konsep pembelajaran universiti.

Namun, kewujudan mereka perlu sentiasa ditambah baik supaya kekal relevan. Sebagai contoh, katanya, perbanyakkan kelas-kelas elektif yang singkat dan mudah tanpa mengenakan syarat lulus peperiksaan.

“Gantikan dengan syarat kehadiran wajib untuk lulus subjek atau kursus. Dengan cara ini mahasiswa boleh meneroka lebih banyak ilmu dan kemahiran yang mereka ingin ceburi tanpa risau ianya akan menjejaskan perjalanan akademik mereka.”

Katanya, golongan ibu bapa dan guru tidak perlu berfikiran terlalu negatif terhadap statistik pelajar yang tidak berminat melanjutkan pengajian ke universiti.

Boleh jadi, mereka sudahpun mempunyai rancangan alternatif untuk membina laluan hidup dan kerjaya masing-masing.

“Netizen juga tidak perlu merendah-rendahkan mereka, walaupun tidak ke universiti mereka ini masih boleh berfungsi kepada masyarakat dengan pelbagai bentuk dan cara,” katanya. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.