- Iklan -
Berita

Baik, buruk Kementerian Wilayah Persekutuan bawah Anwar

Wujud kebimbangan perdana menteri sedang menjadikan dirinya sebagai menteri 'de facto' bagi Wilayah Persekutuan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Perdana Putra di Putrajaya menepatkan Pejabat Perdana Menteri.
Bangunan Perdana Putra di Putrajaya menepatkan Pejabat Perdana Menteri.

Keputusan penstrukturan semula Kementerian Wilayah Persekutuan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa 22 Disember lalu mencetuskan persoalan sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang menjadikan dirinya sebagai menteri “de facto” bagi kementerian berkenaan.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali baru-baru ini mengumumkan penstrukturan Jabatan Wilayah Persekutuan selepas satu sesi taklimat bersama perdana menteri di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Zuki turut menamakan Rosida Jaafar sebagai ketua pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan.

Peguam Rafique Rashid berkata menggugurkan satu portfolio kementerian bermakna mengurangkan satu jawatan menteri dan ianya satu tindakan yang baik kerana membawa manfaat apabila perbelanjaan negara boleh dijimatkan.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan menjadi satu lagi portfolio terkini diambil Anwar selepas menamakan dirinya sebagai menteri kewangan.

Menurut Rafique, memandangkan ianya berada di bawah JPM dan “tiada menteri” maka ianya mencetuskan satu persoalan penting sama ada menteri untuk kementerian tersebut kini disandang oleh perdana menteri sendiri.

“Jadi sekarang kita ada Anwar sebagai PM, Anwar sebagai menteri kewangan dan Anwar sebagai de facto menteri wilayah persekutuan?

“Ini PM kena telus dan maklum. Adakah Ketua Pengarah Rosida sebagai pengganti menteri atau ‘figure head’? Selagi perkara ini tidak dijelaskan, maka Anwar adalah menteri de facto Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaNow.

De facto merujuk kepada istilah latin yang bermaksud “pada hakikatnya”. 

Manakala dari sudut perundangan dan kenegaraan, jawatan “de facto” pula merujuk kepada individu atau pegawai yang memegang sesuatu jawatan tanpa mengikut cara yang ditetapkan oleh undang-undang.

Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan pada tahun 1979 yang berfungsi sebagai penyelaras perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang. 

Pada tahun 1981, kementerian tersebut diturunkan statusnya menjadi unit bahagian di bawah pentadbiran JPM yang dikenali sebagai Unit Perancangan Lembah Klang.

Pada tahun 2004, Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan semula selepas perdana menteri ke-4, Abdullah Ahmad Badawi merombak Kabinet dengan Isa Abdul Samad dilantik sebagai menteri. 

Kemunculan semula kementerian tersebut menyaksikan tumpuan khusus diberikan kepada kemajuan wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sejak tahun 2004, kementerian itu tidak pernah diturunkan statusnya kepada JPM sehingga pembentukan kerajaan baru pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Selain itu, Rafique memberitahu pengumuman itu membawa kepada satu fakta yang menarik apabila Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan iaitu melibatkan kuasa pengampunan dan Lembaga Pengampunan.

Katanya, jika diteliti perkara tersebut, sekiranya sesebuah kes mahkamah dibicarakan dan dikendalikan di Kuala Lumpur, maka mereka yang bakal menganggotai Lembaga Pengampunan antaranya ialah menteri yang bertanggungjawab terhadap wilayah persekutuan.

“Ini bermaksud beliaulah yang akan duduk dalam komposisi atau menganggotai mana-mana lembaga pengampunan berkaitan kes-kes wilayah.

“Bukankah kes Najib Razak di dalam wilayah? Ini satu persoalan yang amat penting dari segi undang-undang.”

Menurut Artikal 42, Kuasa Pengampunan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi pengampunan, menunda hukuman atau lega hukum selepas mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan yang dianggotai oleh beberapa pihak termasuk peguam negara.

Menurut Rafique, pengumuman itu berupaya mencetuskan konflik kerana penubuhan kerajaan semasa melibatkan gabungan parti-parti seperti Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Dan isu bekas perdana menteri dari Umno yang kini mungkin akan terpaksa bergantung kepada Lembaga Pengampunan dalam kes keputusan SRC di mana beliau dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara.”

Sebelum ini, ramai pihak terutamanya pemimpin-pemimpin utama parti politik tidak menolak kemungkinan besar Najib akan mendapat pengampunan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Dalam pada itu, penganalisis politik Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata keputusan meletakkan portfolio kementerian tersebut di bawah JPM mungkin disebabkan beberapa faktor.

Katanya, perdana menteri mahukan supaya kawasan-kawasan dalam wilayah persekutuan diuruskan secara langsung di bawah JPM agar perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan tiga wilayah itu boleh dipantau secara teliti.

“Kerana banyak isu di bawah Wilayah Persekutuan ini, kalau kita lihat dalam perkembangan beberapa tahun yang lalu wujud banyak perkara-perkara yang berkaitan dengan hal-hal penyelewengan tanah contohnya.

“Sebab KL ini satu bandar raya yang mempunyai nilai hartanah yang tinggi. 

“Kita dengar banyak isu-isu terkait korupsi di bawah kementerian ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tambahnya, dengan meletakkan kementerian itu di bawah pemantauan JPM, Anwar dapat memerhati secara langsung supaya perkara-perkara yang seperti rasuah dan salah laku tidak berulang.

Katanya, Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara akan menjadi lebih mudah berada di bawah pemantauan JPM terutamanya melibatkan perancangan dan pembangunan wilayah itu terutamanya kehidupan warga penjawat awam dapat diteliti dengan lebih dekat.

“Dan di bawah pentadbiran baru ini, Wilayah Persekutuan ditadbir oleh seorang ketua pengarah, jadi nampaknya kurang politiking di situ kerana kita tahu Kementerian Wilayah Persekutuan menjadi tumpuan ahli-ahli perniagaan yang mencari peluang sebagai lubuk emas.

“Mungkin PM ada satu wawasan mengapa beliau mansuhkan kementerian itu dan meletakkannya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.