- Iklan -
Berita

Subsidi petrol guna data JPJ tidak sesuai, kata pakar

Menurut pakar, kenderaan enjin besar tidak semestinya menunjukkan kekayaan penggunanya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki memasukkan RON95 di sebuah stesen minyak di ibu negara.
Seorang lelaki memasukkan RON95 di sebuah stesen minyak di ibu negara.

Cadangan memberi subsidi petrol RON95 mengikut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak diterima baik oleh pakar automatif tempatan apabila kerajaan dilihat masih menganggap penggunaan kereta enjin besar sebagai petanda kekayaan.

Hezeri Samsuri berkata, kereta mewah kini dihasilkan dengan kapasiti enjin yang lebih kecil berbanding kereta MPV Naza Ria.

"Dunia automotif sekarang terpaksa akur dengan kawalan pelepasan karbon yg ketat.

"Oleh itu enjin makin kecil, walaupun untuk 'supercar' dan sebab tu dunia bertukar ke arah kenderaan elektrik," katanya kepada MalaysiaNow.

Hezeri mengulas cadangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahudin Ayub berhubung pemberian subsidi bersasar mengikut jenis kenderaan. 

Menurut Salahudin, pengkalan data JPJ digunakan kerana kerajaan boleh mengenalpasti kuasa kuda kereta yang layak menerima subsidi petrol RON95. 

Salahudin berkata demikian selepas perbincangan dengan kementerian kewangan berhubung mekanisme subsidi berdasar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pemberian subsidi harus diberikan secara bersasar dan tidak boleh dinikmati oleh orang kaya dan industri. 

Subsidi petrol, diesel dan gas antara yang memakan belanja yang tinggi iaitu kira-kira RM13.2 bilion tahun ini.

Hezeri yang juga pengendali laman sesawang Careta.my menjelaskan, pembuat kereta terkemuka dunia kini sedang bergerak ke arah penghasilan enjin berkapasiti kecil namun masih berkuasa. 

"Enjin turbo kecil mampu memberi pelepasan asap ekzos dengan jumlah karbon yang rendah. 

"Tidak ada kena mengena dengan cukai jalan kita atau harga bahan api," tambahnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun maklumat kuasa enjin boleh membantu, ia harus dipadankan dengan data daripada penerima Bantuan Sara Hidup dan data Lembaga Hasil Dalam Negeri. 

"Ada golongan B40 yang membeli kereta terpakai yang mempunyai kapasiti besar tetapi dibeli dengan harga yang rendah secara tunai," katanya. 

Ia turut diakui oleh Hezeri. 

Harga Mercedes Benz model E200 W210 yang dibuat pada tahun 2000 boleh dibeli di bawah harga RM10,000 dengan alat ganti yang murah tersedia. 

Hezeri berkata, data sedia ada boleh digunakan dan pembayaran wang boleh dibuat kepada yang layak. 

Harga minyak boleh diapungkan 100% kecuali untuk pengangkutan awam dan mana mana industri yang wajar dibantu.

Aspek pemantauan juga dijangka berdepan masalah. 

Ini kerana subsidi berdasarkan enjin atau kuasa kuda akan mengakibatkan ramai mengubah suai enjin masing-masing. 

"Di stesen minyak, siapa yang hendak kenal pasti berapa kapasiti enjin kereta?" tambah Hezri. 

Ini kerana pengendali stesen minyak bertanggungjawab memastikan kereta luar negara, terutama dari Singapura tidak boleh membeli RON95 yang disubsidi.