- Iklan -
Berita

Sebaran SMS kepada umum pertahan 'kerajaan perpaduan' dikecam

Ramai yang mengungkit semula kritikan ahli politik Pakatan Harapan terhadap langkah kerajaan sebelum ini yang menghantar mesej bagi Majlis Keselamatan Negara.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi

Beberapa mesej sistem pesanan ringkas (SMS) mempertahankan kerajaan gabungan pimpinan Anwar Ibrahim mencetuskan kecaman terhadap Kementerian Komunikasi dan Digital diketuai Fahmi Fadzil dari PKR yang menggunakan rangkaian telekomunikasi di bawah seliaannya bagi menyebarkan naratif politik kepada orang ramai.

SMS yang diterima pengguna peranti mudah alih merentasi pelbagai rangkaian sejak minggu lalu, dilihat mempertahankan "kerajaan perpaduan", istilah yang digunakan pemimpin kerajaan bagi menggambarkan jalinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan Perpaduan adalah langkah penyelesaian berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang," kata satu SMS yang diterima pengguna peranti mudah alih minggu lalu.

Satu lagi mesej mengenai topik yang sama turut tular tengah hari tadi di mana ia menyifatkan kerajaan hari ini diwakili oleh ahli Parlimen pelbagai bangsa dan agama, serta mereka yang mempunyai "kepakaran dan pengalaman".

Seorang pemimpin Bersatu tampil menyelar tindakan yang diambil kementerian itu, menyifatkannya sebagai tindakan "terdesak" kerajaan dan penyalahgunaan kemudahan telekomunikasi kerajaan.

Dr Muhammaf Faiz Na'aman turut membandingkan tindakan tersebut dengan taktik propaganda "komunis" yang mahu "mencuci otak rakyat supaya terima naratif pemerintah”.

"Adakah kerajaan luar tabii ini takut dan tidak yakin dengan penerimaan orang awam serta rakyat Malaysia terhadap mereka hingga perlu hantar SMS sebegini?"

Dalam pada itu, seorang pengguna Twitter menyatakan kemarahan selepas menerima SMS tersebut, menggesa supaya Fahmi menjelaskan tujuannya membuat sebaran itu.

Beliau turut mengingatkan ahli politik PH yang sebelum ini mengkritik SMS Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika krisis Covid-19 memuncak.

“Dulu PH kritik katanya mesej MKN mengenai Covid-19 membazir wang rakyat.

"Jangan jadi hipokrit dan hentikan segera!" kata seorang pengguna, Ayep, dalam ciapannya di Twitter.

MalaysiaNow turut menghubungi Fahmi dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di mana bidang kuasanya merangkumi rangkaian telekomunikasi.

Sejak memegang portfolio yang dijenamakan semula kepada KKD daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, ahli Parlimen Lembah Pantai itu beberapa kali menjadi sasaran kritikan.

Pengkritik berkata beliau lebih berminat untuk menepis kritikan politik berbanding menambah baik infrastruktur digital negara.

Sebelum ini, beberapa ahli politik PH pernah mengkritik SMS yang dihantar kepada umum melalui agensi kerajaan, menuduh kerajaan terdahulu menggunakan rangkaian telekomunikasi bagi tujuan menyebarkan propaganda.

Mereka termasuk ahli Parlimen Segambut dari DAP yang kini merupakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, mengatakan mesej yang dihantar kepada orang ramai sepatutnya membantu mereka.

“Hentikan salah guna platform SMS MKN untuk retorik atau sebar propaganda halus. 

“Kita (patut) masukkan simptom (Covid-19) sekarang sudah berubah, bukan lagi demam. ‘Jika anda mempunyai simptom ini, hubungi klinik kesihatan yang paling hampir'," katanya pada Julai 2021, tidak lama sebelum pemimpin Umno yang bersekutu dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mendalangi siri pembelotan yang membawa kepada kejatuhan pentadbiran Muhyiddin Yassin ketika kemuncak pandemik dalam negara.

Istilah "kerajaan perpaduan" digunakan oleh pemimpin kerajaan, terutama dari PH bagi menjelaskan langkah menjalin hubungan dengan musuh politiknya dari BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Berikutan kemelut politik pasca PRU15 mengakibatkan Parlimen tergantung, Zahid berjaya memimpin 30 ahli Parlimen BN untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri, di mana pemimpin kedua-dua gabungan itu mendakwa ia adalah bagi memenuhi hasrat istana supaya "kerajaan perpaduan" dibentuk.

Bagaimanapun, istilah tersebut tidak disebut dalam kenyataan rasmi Istana Negara yang mengisytiharkan Anwar sebagai perdana menteri ke-10 selepas beberapa hari negara menyaksikan drama politik.

Pengkritik berkata kerajaan diterajui Anwar tidak boleh disifatkan sebagai "kerajaan perpaduan", kerana ia tidak merangkumi sejumlah besar ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN).

PN menyatakan ia menolak pelawaan Anwar untuk menyertai kerajaan diterajuinya.

Semasa sidang pertama Parlimen pada 19 Disember lalu, penggunaan istilah “kerajaan perpaduan" oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng mencetuskan bantahan hebat daripada ahli Parlimen pembangkang.

“Jangan gunakan nama Yang di-Pertuan Agong.

“(Kerajaan perpaduan) tidak disebut pun dalam surat lantikan Tambun (Anwar)," kata Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.