- Iklan -
Berita

Siasatan kebakaran Wisma Jakel tumpu unsur sabotaj, sisa bara api

Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata setakat ini belum ada lagi kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kebakaran kedua yang berlaku tidak sampai seminggu selepas kebakaran 1 Januari lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamaran Selangor Norazam Khamis (kedua dari kanan) menaiki kren bagi memeriksa kemusnahan akibat kebakaran bangunan Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam pada 1 Januari lalu. Gambar: Bernama
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamaran Selangor Norazam Khamis (kedua dari kanan) menaiki kren bagi memeriksa kemusnahan akibat kebakaran bangunan Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam pada 1 Januari lalu. Gambar: Bernama

Unsur perbuatan bakar dan sisa bara api menjadi antara fokus utama siasatan bomba Selangor susulan kebakaran terbaru di bilik simpanan kain langsir Wisma Jakel, Seksyen 7 di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata bagaimanapun siasatan pihaknya akan memberi tumpuan kepada semua aspek dan dikaji secara mendalam agar maklumat menyeluruh dapat diperoleh.

“(Punca bara di bawah kain), itu kami masih siasat dan mengambil aspek yang perlu kami analisa. Mungkin bara-bara yang tertinggal atau ada sesiapa yang naik melakukan pembakaran. 

“Aspek-aspek lain juga akan dilihat dan dikaji secara mendalam. Setakat ini belum ada lagi satu kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kebakaran kedua ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian kebakaran di Wisma Jakel, hari ini. 

Norazam berkata pihaknya memerlukan tempoh 14 hari bagi menjalankan siasatan dan analisa awal termasuk mendapatkan saksi kejadian itu.  

Jelas Norazam pihaknya hari ini turut menggerakkan khidmat Unit K9 iaitu dua ekor anjing jantan dari baka English Springer Spaniel bernama Woody dan Rocco untuk mengesan apa-apa bahan yang boleh mencetuskan kebakaran.

“Sampel dan sebagainya kami akan hantar ke makmal penyiasatan kami di Bukit Jelutong untuk dianalisa. Selain itu, aspek pendawaian dan peralatan elektrik yang digunakan oleh bangunan Wisma Jakel juga akan turut dianalisa,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam berkata pihaknya hari ini mula membuka Pusat Kawalan Hadapan (PKH) dengan menempatkan lebih 10 anggota sebagai langkah pemantauan dan berjaga-jaga sekiranya berlaku kebakaran berulang.

"Kebakaran setakat ini sudah dipadamkan sepenuhnya namun langkah pemantauan menyeluruh masih diteruskan," katanya.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasuki kawasan lokasi kejadian kecuali dengan pengawasan dan diiringi pihak berkuasa.

"Bomba dengan dibantu pekerja Jakel akan menjalankan kerja-kerja pemunggahan semua barangan terutama fabrik yang terselamat daripada premis Wisma Jakel mulai hari ini,” katanya.  

Wisma Jakel di Seksyen 7 hari ini mengalami kebakaran kali kedua apabila bilik simpanan kain langsirnya terbakar tengah malam tadi selepas pihaknya menerima panggilan pada 12.40 tengah malam dan kebakaran itu berjaya dipadam keseluruhannya oleh pihak bomba pada 3.07 pagi.

Sebelum ini, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Januari lepas dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada 7.08 pagi dan berjaya dipadamkan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.