- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen kecam lantikan orang Anwar terajui rangkaian kedai serbaneka milik Berjaya

Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor mempersoalkan agenda reformasi yang dilaungkan Pakatan Harapan ketika gabungan itu masih menjadi pembangkang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Bersatu hari ini mempersoalkan sikap Anwar Ibrahim yang berdiam diri berhubung laporan pelantikan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador ke jawatan utama beberapa syarikat, menyifatkan “reformasi” yang dilaungkan perdana menteri itu adalah bohong dan memperdaya pengundi.

Dalam sebuah kenyataan, Khlir Mohd Nor berkata Farhash yang dilantik sebagai pengerusi syarikat rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven dan pengerusi eksekutif Apex Equity Holdings Bhd memang dikenali sebagai sekutu rapat Anwar. 

“Pelantikan Farhash untuk jawatan-jawatan besar ini sebaik sahaja selepas Anwar Ibrahim diangkat ke Pejabat Perdana Menteri adalah suatu yang bertentangan dengan prinsip tata-kelola yang baik didalam negara ini, dan adalah suatu perkara yang jijik dan dipandang serong,” katanya.

Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia, 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd yang dimiliki Berjaya Group berkata Farhash akan menggantikan Robin Tan Yeong Ching yang merupakan anak kepada taikun Vincent Tan, yang dilantik sebagai pengerusi pada 25 November 2021.

Farhash juga dilantik sebagai pengerusi Apex Equity Holdings Bhd minggu lepas, menggantikan Ahmad Redza Abdullah yang meletak jawatan pada September 2022 selepas tiga bulan memegang jawatan.

Dalam kenyataannya, Khlir menggesa Anwar menjelaskan bagaimana pelantikan ini boleh dianggap konsisten dengan janji tata kelola pentadbiran yang baik atau ikrar reformasi yang dilaungkan pemimpin PKR itu.

"Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan untuk tata-kelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara? 

“Pelantikan Farhash  adalah bukti bahawa agenda ‘reformasi’ yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong  dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.