- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi selar Selangor kerana caj warga asing untuk bas percuma

Lawyers for Liberty dan kumpulan hak asasi global HRW menyifatkan keputusan terbaru itu tidak berhati perut dan petanda xenofobia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tindakan pihak berkuasa tempatan Selangor mengenakan tambang 90 sen kepada warga asing bagi perkhidmatan percuma PJ City Bus mencetuskan kecaman terhadap keputusan yang dianggap sebagai diskriminasi terhadap pekerja asing. Gambar: Facebook
Tindakan pihak berkuasa tempatan Selangor mengenakan tambang 90 sen kepada warga asing bagi perkhidmatan percuma PJ City Bus mencetuskan kecaman terhadap keputusan yang dianggap sebagai diskriminasi terhadap pekerja asing. Gambar: Facebook

Kumpulan hak asasi manusia mempersoalkan keputusan terbaru pihak berkuasa tempatan di Selangor mengenakan tambang sebanyak 90 sen terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma di Petaling Jaya, di mana Human Rights Watch (HRW) menyifatkannya sebagai tindakan "tidak berhati perut" kerana membebankan pekerja asing yang berpendapatan kurang berbanding rakyat Malaysia.

“Membina pemulihan kos dengan menggunakan pelanggan daripada golongan paling miskin dan tidak berdaya adalah tindakan yang tidak berhati perut oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya, langkah ini perlu dibatalkan serta-merta. Jika bas itu percuma untuk rakyat Malaysia, ia juga harus percuma untuk semua orang," kata timbalan pengarah HRW untuk Asia, Phil Robertson, kepada MalaysiaNow.

Di bawah peraturan baru itu, warga asing yang menggunakan perkhidmatan PJ City Bus akan dikenakan bayaran 90 sen bagi setiap perjalanan.

Pemimpin kerajaan Selangor turut mempertahankan langkah itu, mengatakan perkhidmatan percuma itu adalah untuk rakyat Malaysia, sama seperti sekolah dan hospital awam bagi memenuhi keperluan.

Bagaimanapun Robertson berkata golongan yang menggunakan perkhidmatan percuma itu bukanlah "ekspatriat yang berada“.

“Mereka bukan orang yang biasa menaiki PJ City Bus.

"Sebaliknya, mereka adalah pekerja asing dari Asia Selatan, Myanmar, Kemboja dan tempat lain yang mendapat pendapatan kurang berbanding rakyat Malaysia, di mana mereka akan terkesan dengan tambang diskriminasi ini, sedangkan mereka adalah orang yang paling tidak mampu," tambahnya.

Keputusan tersebut turut mengundang kecaman Lawyers for Liberty yang berpangkalan di Kuala Lumpur, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada "masalah diskriminasi yang lebih besar dihadapi oleh kumpulan rentan ini di bawah pihak berkuasa".

"Xenofobia tidak boleh menjadi sebahagian daripada mana-mana dasar kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, terutama di bawah kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH), sebuah gabungan yang melaungkan janji pembaharuan," kata Pengarah LFL Zaid Malek.

Beliau turut menyelar kenyataan pegawai khas menteri besar Selangor, Jay Jay Denis yang berkata tambang tersebut bukan untuk mengaut keuntungan kerana ia tidak juga menampung kos perkhidmatan.

"Ini menimbulkan persoalan mengapa tambang diskriminasi sebegitu rupa perlu dikenakan kepada pengguna termiskin seperti pekerja asing," katanya.

"Tiada sebab kukuh mengapa mereka tidak boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan bas percuma yang ditawarkan."

Kerajaan Selangor pertama kali mengusulkan peraturan tambang pada 2021, di mana exco yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan, Ng Sze Han, berkata adalah untuk menampung kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, Zaid berkata tambang yang dikenakan ke atas warga asing adalah "tidak rasional dan sembarangan”.

"Perbuatan jelas sekali sama sahaja dengan ketaksuban. Ia juga tersirat di sebalik kenyataan pembantu MB Selangor, di mana beliau menegaskan keutamaan bagi PJ City Bus adalah rakyat Malaysia, seolah-olah pendatang itu meminjam dari pembayar cukai Malaysia. – sebuah naratif yang sering digunakan untuk mewajarkan dasar diskriminasi terhadap pendatang asing.”

Zaid menyifatkan pekerja asing sebagai "tulang belakang" Malaysia, mengatakan golongan itu memainkan peranan penting dalam banyak industri kritikal.

"Sebahagian besar golongan ini melakukan pekerjaan yang tidak akan dibuat oleh rakyat Malaysia, dengan gaji yang lebih rendah dan dalam keadaan yang teruk, sehingga mereka sering menjadi mangsa eksploitasi buruh.

"Diskriminasi tambang ini adalah lambang kepada masalah diskriminasi yang lebih besar dihadapi oleh kumpulan rentan ini di tangan pihak berkuasa."