- Iklan -
Berita

Negeri Sembilan pertimbang wajibkan pelitup muka jika kes meningkat

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata ia sebagai langkah pencegahan awal supaya perkara lebih buruk tidak berlaku.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pemakaian pelitup muka menjadi pilihan sejak September 2022 melainkan di fasiliti kesihatan. Gambar: Bernama
Pemakaian pelitup muka menjadi pilihan sejak September 2022 melainkan di fasiliti kesihatan. Gambar: Bernama

Kerajaan Negeri Sembila mempertimbang untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka terutama di kawasan tertutup sekiranya kes Covid-19 di negeri itu  menunjukkan peningkatan mendadak.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata ia sebagai langkah pencegahan awal supaya perkara lebih buruk tidak berlaku namun ketika ini, kes Covid-19 di negeri itu masih dalam keadaan terkawal. 

“Tempat yang kita wajibkan mungkin di jabatan kerajaan dan sekolah tetapi itu kalau kes naik mendadak… keadaan sekarang masih terkawal dan kita antara negeri terendah kes Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri akan mewajibkan pemakaian pelitup muka semasa sambutan Hari Keputeraan ke-75 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 14 Januariw  ini, yang dijadual berlangsung di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah.

Aminuddin berkata dalam pertemuannya dengan Tuanku Muhriz, baginda turut mencadangkan supaya pemakaian pelitup muka digalakkan dalam program yang membabitkan kehadiran ramai di negeri itu.

Menyentuh mengenai NeSCOM, beliau berkata ia merupakan pusat koordinasi maklumat dan logistik dengan data seperti paras air sungai, tanah runtuh, keadaan jalan raya serta ramalan cuaca yang akan dipapar bagi membantu kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Katanya NeSCOM di bawah kelolaan Angkatan Pertahanan Awam negeri melibatkan pelbagai jabatan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Meteorologi.