- Iklan -
Berita

Kemudahan kereta kepada bekas menteri fitnah PM, kata Radzi

Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin berkata dakwaan tersebut adalah fitnah kerana tiada kemudahan kereta diberikan kepada bekas menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Putrajaya dari Bersatu Radzi Jidin mempersoalkan kenyataan Anwar Ibrahim berhubung pembatalan kemudahan kereta kepada bekas menteri, menyifatkannya sebagai fitnah terbaru daripda perdana menteri.

“Ini fitnah apa pula? DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata, beliau telah batalkan kemudahan kereta untuk bekas-bekas menteri yang baru ini.

“Soalnya, sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta? Batalkan perkara yang tak wujud? Bantu banteras fitnah ini, tolong kongsi-kongsikan,” kata bekas menteri pendidikan itu dalam ciapannya di Twitter.

Pada sidang media 4 Januari lalu, Anwar berkata cadangan untuk mengurangkan atau membatalkan pencen bekas anggota Kabinet tidak munasabah kerana isu berkaitan itu berada di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Anwar berkata, langkah yang diambil oleh pentadbirannya hanya menarik balik kemudahan yang diberikan kepada bekas anggota Kabinet, antaranya kemudahan kereta. 

"Sebagaimana yang diketahui peruntukan Perlembagaan, ada diuar-uarkan, Kerajaan Perpaduan akan menimbangkan untuk menghapuskan pencen (pesara) atau mengurangkan, itu tidak munasabah kerana ia melibatkan isu Perlembagaan,"

“Yang saya lakukan setakat ini, yang biasanya adalah bekas-bekas menteri yang baru ini, yang dapat kemudahan biasa dan kereta, semua itu saya batalkan. 

“Setakat itu boleh, lebih baik dari segi peraturan pentadbiran dan tidak melibatkan Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Marzuki Mohamad yang juga bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri turut menafikan kenyataan Anwar.

Menurut Marzuki, sejak beberapa era kerajaan yang pernah ditubuhkan, bekas-bekas menteri tidak pernah diberikan kemudahan kereta rasmi.

"Ini bukan perkara baru. Sejak zaman berzaman itulah amalannya,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook.

“Bila tamat tempoh jadi menteri, semua kemudahan rasmi kerajaan mesti dikembalikan. Kalau nak beli kereta tu perkara lain. 

"Ada proses tertentu yang mesti diikuti. Jadi apa sebenarnya yang perdana menteri batalkan?"

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.