- Iklan -
Berita

KKM buka permohonan bagi 4,914 perjawatan tetap

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan itu dibuka mulai hari ini sehingga 21 Januari.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Facebook
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Facebook

Kementerian Kesihatan (KKM) menawarkan 4,914 jawatan tetap bagi tahun ini, merangkumi 4,263 perjawatan bagi pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan untuk mengisi perjawatan berkenaan dibuka mulai hari ini hingga 21 Januari menerusi portal https://spa9.spa.gov.my.

Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru 2023 KKM di Putrajaya hari ini, Dr Zaliha berkata pengarah kesihatan negeri disaran membuat penjajaran perjawatan atau sumber manusia dengan pusingan kerja, sebagai contoh menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital bagi mengelakkan kejadian burnout atau lesu upaya pegawai.

Beliau turut mencadangkan agar pengarah kesihatan negeri meneliti semula keperluan untuk melanjutkan waktu pengoperasian klinik kesihatan bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.

“Ia bagi mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik berkenaan dan bukan di Jabatan Kecemasan,” katanya dan menambah Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di Jabatan Kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam disebabkan kes bukan kritikal.

Mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2023 yang disemak yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, Dr Zaliha optimis kementerian itu akan menerima peruntukan lebih tinggi tahun ini berbanding RM32.41 bilion yang diterima pada 2022.

Bagi tahun ini, katanya KKM menjangkakan lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan dapat diserah dan dijangka beroperasi antaranya Hospital Pendang (Kedah) dan Hospital Kemaman (Terengganu).

“Dengan siapnya projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan yang lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan kembali pemberian vaksin virus papiloma manusia (HPV) yang dapat mencegah penyakit kanser serviks kepada pelajar tingkatan satu pada tahun ini.

“Pada 2021, pemberian vaksin itu terpaksa ditangguhkan akibat gangguan bekalan di peringkat global, namun KKM pada Disember lepas telah berjaya membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin dan ia telah berada di lapangan,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.