- Iklan -
Berita

Impak subvarian Omicron di Malaysia boleh dilihat dalam tempoh beberapa minggu lagi, kata pakar

Pakar virologi Dr Muhammad Amir Yunus berkata usaha perlu dilakukan untuk mencegah sebarang peningkatan mendadak kes Covid-19.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berhimpun di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada malam Tahun Baru pada 31 Disember 2022.
Orang ramai berhimpun di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada malam Tahun Baru pada 31 Disember 2022.

Beberapa minggu yang datang bakal menjadi tempoh masa penting untuk Kementerian Kesihatan menilai impak varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang dikesan baru-baru ini di Malaysia, kata pakar virologi, Dr Muhammad Amir Yunus.

Amir yang juga Saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, berkata walaupun masih terlalu awal untuk menyifatkan perkembangan ini sebagai "merisaukan", KKM bagaimanapun disaran supaya memberi perhatian penuh supaya dapat mengelakan kenaikan mendadak kes Covid-19 di negara.

Varian BA.5.2 dan BF.7 sebelum ini dilaporkan sebagai dua varian utama yang tersebar di China apabila ia dikesan dalam 80% kes Covid-19 di negara terbabit.

Apabila varian ini dikesan berada di Malaysia, orang ramai meluahkan kebimbangan terutama apabila China kini sudah menamatkan sekatan perjalanan di negara itu sekali gus membolehkan rakyatnya mengembara ke negara luar.

Menurut Amir, kerisauan yang ditunjukkan rakyat Malaysia juga selari dengan pandangan beberapa negara lain memandangkan perkembangan ini dibimbangi akan meningkatkan kembali jumlah kes Covid-19.

"Saya faham kerisauan ini sebab ada laporan menyatakan separuh penumpang yang membawa pelancong dari China positif Covid-19," katanya kepada MalaysiaNow, mengulas laporan insiden di Milan, Itali baru-baru ini.

Tutup sempadan, sekatan pergerakan masih relevan?

Disebabkan varian itu dikesan dalam kebanyakan kes jangkitan di China, ramai mendesak kerajaan supaya menyekat kemasukan pelancong dari republik itu dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di Malaysia.

Antara keluhan yang diluahkan beberapa pihak termasuk masyarakat ialah tidak sanggup berdepan pelaksanaan sekatan pergerakan.

Meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dilaksanakan demi keselamatan orang ramai, ia bagaimanapun menyebabkan ekonomi negara terjejas dengan sektor berkaitan pelancongan menerima impak paling teruk.

Bagi Amir, pelaksanaan PKP pada masa ini dianggap tidak wajar, namun, tindakan itu juga tidak boleh diketepikan sepenuhnya.

Katanya, situasi ini bergantung kepada tahap keterukan penularan Covid-19 di Malaysia dan tahap sistem kesihatan negara seperti keupayaan hospital menangani kemasukan pesakit.

"Saya yakin KKM mesti ada nilai ambang untuk memantau keadaan ini.

"Jika ramai pesakit dimasukkan ke ICU dan kesnya berkaitan dengan salur pernafasan, waktu itu baru kita perlu risau dan boleh mula debat sama ada ingin melaksanakan PKP atau tidak," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan suntikan dos penggalak kedua ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di China.

Dalam kenyataannya, beliau turut mendedahkan hanya 1.9% yang mengambil dos suntikan kedua manakala 49.8% sahaja rakyat mendapat vaksin dos penggalak pertama.

Mengulas mengenai angka yang agak suram ini, Amin menjelaskan ramai mungkin tidak menganggap vaksin sedia ada sebagai signifikan untuk melawan varian Omicron.

"Secara asasnya, dua varian ini adalah dalam subvarian Omicron, malah mempunyai reaksi yang lebih kurang sama.

"Kajian menunjukkan vaksin sedia ada kurang keberkesanan dengan varian ini dan mungkin sebab ini ramai enggan mengambil suntikan penggalak," katanya.

Bagaimanapun, Amir menyarankan supaya kerajaan terus memanfaatkan bekalan vaksin yang masih ada supaya ia tidak dibazirkan.

"Jika hendak mengawal wabak atau pergerakan ejen penyakit berjangkit ini agak sukar. 

"Justeru, kita perlu ambil langkah bersedia seperti melaksanakan saringan sebagai usaha memastikan tiadak kenaikan  mendadak kes Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan akan datang," tambah beliau.