- Iklan -
Berita

Wanita temui erti baru kehidupan dengan lukisan selepas pandemik

Norhayati Ahmad tidak pernah menyedari bakatnya dalam seni namun kini memulakan kerjaya baru sebagai pelukis bersama anak perempuannya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Nurul Hayati Ahmad mendapat ketenangan dan erti baru kehidupan dengan melukis.
Nurul Hayati Ahmad mendapat ketenangan dan erti baru kehidupan dengan melukis.

NorNorhayati Ahmad mengimbas kembali perjalanan hidupnya yang tidak pernah cuba melukis meskipun usianya sudah menjangkau lebih 50 tahun. 

Bukan sahaja melukis, menyentuh berus lukisan juga tidak pernah. 

Tidak sehingga beliau menemui dirinya mempunyai banyak masa terluang kerana pandemik Covid-19 yang menakutkan.

Di penghujung tempoh pandemik, Norhayati mula menonton video-video tutorial melukis yang dimuat naik dalam internet. 

Teruja dengan lukisan-lukisan yang indah hasil kerja pelukis amatur dalam talian, tercetus satu ilham untuknya mula melukis di rumah.

Tanpa berlengah, dia mempelawa anak perempuannya untuk sertai sama. 

Mereka bermula dengan melukis lukisan-lukisan yang mudah dan bersaiz kecil pada Februari lalu. 

Kini, dalam tempoh kurang setahun Norhayati sudah mampu menjual hasil-hasil kerjanya dengan harga sehingga mencecah lima angka.

Bahkan, pembelian hasil kerja seninya itu turut disumbangkan kepada pertubuhan-pertubuhan yang diwakilinya bagi tujuan kerja amal dan kebajikan.

Norhayati berkata melalui kerja melukis itu mampu mengubati hatinya yang sedikit sebanyak terkesan dengan kebimbangan akibat virus tersebut. 

Ditambah pula minatnya terhadap lukisan-lukisan berkisarkan peradaban di era abad 90 menjadikan jiwanya lebih dekat dengan setiap hasil kerjanya.

“Melukis ini mungkin bakat semula jadi kerana saya pun tak berapa pasti. Ianya datang sendiri secara spontan, saya sendiri tak sedar bahawa saya ini minat melukis.  

“Lukisan pertama saya diberi nama ‘Little Cabin’ dan setiap lukisan ada kisah tersendiri di sebaliknya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Norhayati, dia mengambil masa selama dua hingga tiga jam untuk menyiapkan hasil lukisan bersaiz kecil dan sederhana.

Manakala tempoh menjangkau sehingga lebih seminggu bagi bersaiz besar dan bergantung kepada teknik lukisan yang diperlukan.

“Tidak semua lukisan itu mudah. Tidak dinafikan memang ada yang rumit sebab melibatkan kombinasi warna yang menyebabkan ianya makan lebih banyak masa.

“Bila susah, saya akan letak harga yang lebih tinggi.”

Kini, Norhayati aktif menjalin kerjasama dengan pertubuhan dan organisasi kebajikan sekitar Lembah Klang untuk meraih kutipan dana amal melalui proses jual beli hasil-hasil lukisannya.

Menyifatkan ianya sebagai satu pengalaman yang baru dan memberi makna, dia seringkali berasa terharu setiap kali ingin melepaskan hasil-hasil lukisannya kepada pembeli.

“Bila dah siap sesebuah lukisan itu, saya rasa sayang sebab ada ‘connection’ dengannya. Jadi mana-mana lukisan yang terjual tu memang saya rasa sebak nak lepaskan.  

“Kita yang hasilkan dia, ianya idea yang Tuhan kurniakan tapi kita zahirkan. Sebab itu saya rasa memang dekat dengan lukisan-lukisan saya.”

MalaysiaNow difahamkan, harga kerja-kerja lukisan yang dihasilkan oleh Norhayati bermula serendah RM250 dan mencecah ke RM24,000. 

Bagaimanapun karya yang bernilai lima angka itu masih belum dibeli.

Bercerita lebih lanjut, Norhayati berkata dia tidak pernah menyangka perjalanan hidupnya melibatkan melukis karya-karya sendiri kerana minatnya terhadap melukis sebelum ini tidak pernah dizahirkan sehinggalah di hujung tempoh pandemik.

Dari situ, beliau belajar satu perkara supaya menjadi yakin dan percaya terhadap langkah pertama.

Baginya, tidak mengapa untuk membuat kesilapan kerana dari situ ianya membentuk peribadi dan pengalaman. Lambat laun, katanya, usaha dan kesilapan itu akan membuahkan hasil yang indah.

“Saya dan anak pun banyak buat kesilapan di peringkat-peringkat awal, banyak juga teknik-teknik yang tidak betul.

“Kemudian, kita belajar pelan-pelan dan ikut rentak sendiri.”

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.