Bekas naib presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua dan empat lagi ahli PKR dipecat selepas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lepas, tanpa persetujuan parti.
Empat yang dipecat terdiri daripada Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (cabang Gopeng), M Mohganan (cabang Taiping) serta Nur Khairunisa Abdullah (cabang Sadong Jaya).
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Dr Tan Yee Kew ketika dihubungi Bernama berkata keputusan pemecatan dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti yang diadakan pada 7 Januari.
“Ya betul, semalam MPP memang ada mesyuarat dan kami memutuskan untuk memecatnya (Tian Chua) dan empat lagi ahli. Mereka dipecat kerana bertanding pada pilihan raya (PRU dan PRN) sebagai calon bebas dan atas tiket parti lain," katanya dan menambah surat pemecatan akan diserahkan.
Pada PRU15, Chua yang juga bekas ahli Parlimen Batu bertanding di kawasan sama atas tiket Bebas, manakala Puah dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding atas tiket Parti Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Keranji dan DUN Chenderiang, kedua-duanya di Perak.
Sementara itu, Mohganan bertanding di Parlimen Taping sebagai calon Bebas, manakala Nur Khairunisa bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu bagi DUN Sadong Jaya pada PRN Sarawak ke-12.