Beberapa tindakan pusingan-U terhadap beberapa isu yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang selepas gabungan itu menduduki Putrajaya telah menghantui kerajaan apabila berdepan realiti politik dan pentadbiran, kata penganalisis selepas beberapa pemimpinnya dilihat menarik balik pendirian mereka sebelum ini.
Ketika menjadi pembangkang, PH kelihatan tidak kering idea untuk memperbetulkan sistem ekonomi dan pentadbiran negara dengan pelbagai janji ditabur dan teguran dibuat terhadap kerajaan terdahulu yang menjadi modal ceramah gabungan itu semasa kempen pilihan raya.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, misalnya, mencetuskan perdebatan hangat bulan lepas dengan pembelaannya terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma, yang ditentang PH berikutan penyalahgunaan undang-undang kontroversi itu.
Rafizi Ramli yang kini menteri ekonomi juga tidak kurang dengan “formula” tersendiri mengenai harga minyak, kos sara hidup, harga kereta dan harga ayam.
Beliau sebelum ini mengkritik bekas menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, Hasan Malek kerana kenyataan yang dibuatnya berhubung harga ayam, namun kini terpaksa menggunakan hujah yang sama.
Rafizi pada satu sidang media berkata, menguruskan inflasi memerlukan kerjasama semua pihak yang mana harga ayam mampu turun jika pengguna kurang makan ayam.
Ahli Parlimen Pandan itu baru-baru ini berkata, polisi ekonomi mengambil masa sebelum hasilnya dapat dituai.
Intonasi yang “konservatif” itu dilihat berbeza dengan nada agresif semasa menawarkan pelbagai solusi sebagai pembangkang.
Manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu “pusingan-U” baru-baru ini berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) berhak menentukan kadar polisi semalaman (OPR) walaupun sebelum ini mengkritik bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika kadarnya dinaikkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib berkata, situasi itu adalah “real-politics” yang harus dihadapi semua pengundi di negara demokrasi yang mengamalkan sistem pilihan raya.
"Di Amerika Syarikat, bekas presiden Barack Obama dikritik dengan janji kempen pilihan raya presiden untuk memperbaiki sistem kesihatan dan insuran dengan nama Obama Health Care, namun janji tinggal janji.
"Bagi yang mereka yang lantang bersuara mengkritik selaku pembangkang atau berkempen, memang mudah untuk berkata-kata dan berjanji kerana lidah tidak bertulang," katanya kepada MalaysiaNow.
Kartini berkata, pemegang-pemegang jawatan sekarang terpaksa berdepan hakikat mengenai limitasi dalam sumber seperti kewangan dan modal insan, selain kekangan seperti peraturan kewangan yang perlu dipatuhi.
Kebebasan bersuara juga antara isu yang mendepani tempoh awal pembentukan kerajaan campuran apabila Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menekankan batas-batas kebebasan bersuara.
Beliau juga bertemu dengan pentadbir akaun sosial TikTok untuk menyekat beberapa video dalam laman sosial itu.
Isu-isu tersebut, yang kebanyakan disentuh dalam manifesto PH menimbulkan persoalan mengenai komitmen mereka terutama dalam reformasi petadbiran negara, selain apakah yang bakal mereka tawarkan pada pilihan raya-pilihan raya akan datang jika tidak lagi mampu menunaikan janji.
Penganalisis politik daripada Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun turut bersetuju.
Katanya, ia merupakan norma untuk ahli politik dari semua jalur mengeluarkan janji-janji populis bagi mendapatkan undi.
Dalam konteks Malaysia, pihak yang paling lantang bersuara mengenai kegagalan gabungan itu menunaikan janji selama tempoh 22 bulan pentadbiran kali pertama PH ialah penyokong tegar dan urban.
Namun katanya berdasarkan prestasi PH pada pilihan raya umum lepas, segmen pengundi ini masih lagi menyokong gabungan tersebut.
"Berdepan dengan gelombang hijau yang mana ia dianggap mudarat yang lebih besar oleh segmen ini, mereka tiada pilihan selain terus menyokong PH."