- Iklan -
Berita

Berjalan 7km setiap hari untuk jimat bayar tambang 90 sen

Walaupun jumlah tambang itu mungkin kelihatan kecil, namun ia mengurangkan tabungan pekerja asing bagi membantu keluarga di negara asal mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail pekerja asing berbaris di pusat kesihatan.
Gambar fail pekerja asing berbaris di pusat kesihatan.

Setiap hari, Saidi dan isterinya mengusahakan gerai nasi lemak dan pau kukus dari pagi hingga petang.

Pekerjanya, Inah dari Indonesia akan membantu untuk menggoreng ayam dan membungkus makanan selain membeli bahan-bahan masakan selepas kedai ditutup.

Sekitar jam 6.30 petang, kebiasaannya Inah akan menunggu bas berdekatan dengan gerai Saidi untuk pulang ke bilik sewanya di Taman Medan.

Bagaimanapun, suami isteri itu mula perasan sesuatu yang pelik apabila Inah berjalan bersama seorang rakan senegaranya selepas minta izin pulang ke rumah.

"Kami fikir dia mahu pergi makan atau beli sesuatu terlebih dahulu di mana-mana tempat sebelum menunggu bas.

"Tapi kalau hari-hari pergi beli barang pun pelik juga. Bila saya dan isteri tanya berkali-kali, barulah dia mengaku jalan kaki nak balik rumah.

"Bila ditanya kenapa, dia jawab hanya mahu jimatkan wang sebab perlu bayar tambang," katanya kepada MalaysiaNow.

Jarak gerai Saidi dengan bilik sewa Inah sejauh kira-kira tujuh kilometer.

Kebiasaannya Inah dan rakan sebiliknya akan menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor yang disediakan kerajaan negeri untuk berulang alik ke tempat kerja.

Selepas kerajaan negeri mengenakan caj sebanyak 90 sen sejak Mac 2021, Inah masih menggunakan kemudahan tersebut.

Selepas beberapa ketika, dia merasakan perbelanjaannya makin kurang kerana perlu membayar wang tambang setiap kali menggunakan bas.

Nasibnya baik, jiran rumah Inah sudi menumpangkan wanita 26 tahun itu separuh jalan kerana melalui jalan yang sama.

Kemudian Inah akan berjalan kaki kira-kira baki tiga kilometer perjalanan ke gerai Saidi dan isterinya.

"Orang kata hanya 90 sen. Tapi kalau 10 hari, dah RM9. Itu sekali. Kalau pergi balik? Hari-hari lain pula? Mereka ni datang memang tak berduit. Kita minta lagi duit.

"Tak boleh ke bas tu diberi percuma semula?"

Kerajaan Selangor pertama kali mengusulkan peraturan tambang pada 2021, di mana exco yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan, Ng Sze Han, berkata adalah untuk menampung kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Terbaru, pihak berkuasa tempatan di Selangor mengenakan tambang sebanyak 90 sen terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma di Petaling Jaya mencetuskan pelbagai reaksi tidak puas hati dalam kalangan masyarakat dan aktivis hak asasi manusia.

Di media sosial, ramai yang mengatakan ianya satu tindakan yang "terlalu berkira" dengan pekerja asing yang menjadi golongan banyak jasa dengan pembangunan negeri tersebut.

Ada juga yang menggesa supaya cas tersebut dibatalkan serta merta bagi menunjukkan kebaikan dan keikhlasan negara menerima pekerja asing mencari rezeki di Malaysia khususnya di Selangor yang dinamakan negeri terkaya dalam negara.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Inah berkata dia kini tidak lagi merasa apa-apa kepayahan untuk berjalan kaki ke tempat kerja.

Ibu kepada seorang anak lelaki itu berkata, dia hanya mahu berjimat cermat dengan perbelanjaan di Malaysia supaya ahli keluarganya di negara asal dapat menikmati hasil kerja kerasnya di Malaysia.

Katanya, dia juga tidak mahu menimbulkan rasa tak puas hati penduduk setempat kerana mendakwa ramai yang tidak suka apabila bas dipenuhi oleh pekerja asing.

Sedangkan, warga tempatan juga ramai yang menggunakan perkhidmatan bas yang sama untuk ke tempat kerja.

"Kalau bas sudah percuma (semula), saya mungkin naik bas tapi tunggu sampai bas kosong tak ada orang.

"Tapi ada hari saya naik juga bas kalau hujan atau mahu segera pergi jumpa kawan-kawan di tempat lain.

"Pergi kerja sahaja saya jalan kaki sebab hari-hari kerja.

“Hujan tak selalu. Jadi boleh jimat sikit," katanya sambil menambah jirannya juga tidak mahu menerima apa-apa balasan kerana menghantarnya separuh jalan ke gerai majikan.