- Iklan -
Berita

Mampukah pendekatan Anwar 'lebih Melayu' daripada PN berjaya?

Pengerusi Pakatan Harapan itu masih bergelut dengan masalah sokongan orang Melayu terhadap gabungannya.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan barisan Kabinet di Putrajaya pada 2 Disember.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan barisan Kabinet di Putrajaya pada 2 Disember.

Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan membentuk kerajaan campuran selepas rundingan dijalankan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain sehingga mendapat majoriti dua pertiga.

Walaupun mendapat sokongan kuat, Anwar berdepan dengan dilema besar kerana tidak mendapat sokongan orang Melayu, kaum terbesar yang menjadi tulang belakang kepada negara. 

Undi Melayu kepada PH, menurut satu kajian penganalisis politik Bridget Welsh, hanya sekitar 11%. 

Sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat bahagian undi Melayu terbesar dengan 54% manakala selebihnya kepada Barisan Nasional (BN).

Justeru, ahli Parlimen Tambun itu tidak membuang masa memposisikan dirinya sebagai pemimpin Melayu sebaik sahaja dilantik menjadi perdana menteri.

Beliau masuk ke Pejabat Perdana Menteri buat pertama kali mengenakan baju Melayu dan bercapal.

Antara isu awal yang dibangkitkan juga ialah soal nasib petani yang rata-ratanya Melayu. 

Kenyataannya mengenai Padi Beras Nasional (Bernas) serta mengarahkan taikun Melayu, Syed Mokhtar Al-Bukhary untuk membayar RM60 juta dilihat untuk menarik hati undi masyarakat itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pakar perhubungan awam, Syed Arabi Idid berkata situasi PH kini ibarat kembali kepada “PH 1.0” apabila Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu pengerusi gabungan dan perdana menteri mula kehilangan sokongan Melayu.

"PH kalah pada banyak siri pilihan raya kecil, ia memperlihatkan kekecewaan masyarakat Melayu ketika itu walaupun Mahathir diterima pada Pilihan Raya Umum ke-14," katanya.

Katanya, kebimbangan tidak mendapat sokongan Melayu itu adalah satu perkara yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan Anwar.

Justeru, Anwar perlu menonjolkan sisi Melayunya selain memperjuangkan isu-isu berkait dengan kaum itu. 

Meskipun tidak banyak isu besar yang timbul membabitkan masyarakat Melayu hari ini, Syed Arabi yang juga pensyarah komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa berkata isu harga barang dan kos sara hidup akan menjadi tempias besar kepada pentadbiran Anwar. 

"Kita melihat dalam televisyen beliau mengenakan baju Melayu dan songkok ketika dalam program keagamaan. Anwar hendak membawa agama dengan elemen Melayu. Ini sama pada zaman beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia," katanya.

Selain daripada bertemu masyarakat Melayu selepas solat Jumaat, Anwar turut menganjurkan program bersama ulama dari Universiti Al-Azhar.

Beliau juga menyampaikan amanat tahun barunya di masjid di Putrajaya. 

Ia tidak pernah dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini, sama ada daripada BN mahupun PN.

Kerusi Parlimen Putrajaya, yang menyaksikan kemenangan PN pada PRU15 baru-baru ini, ialah pusat penjawat awam yang juga majoritinya orang Melayu.

Dalam satu wawancara bersama RTM baru-baru ini, Anwar yang juga pengerusi PH berkata, kerajaan tidak akan mengiktiraf LGBT, sekular, dan komunis yang mana isu-isu itu sensitif dalam kalangan pengundi Melayu.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Singapore Institute of International Affairs, Oh Ei Sun berkata, hakikat itu perlu diakui oleh semua pemimpin kanan Melayu selepas peningkatan sentimen masyarakat Melayu pada PRU15. 

"Setakat ini, Anwar melakukannya dengan cara yang baik, memaparkan sisi Islamik dalam pelbagai majlis agama, dan pada masa yang sama menyeru masyarakat Melayu-Islam untuk bangkit demi kebaikan seluruh negara. 

"Masyarakat bukan Melayu masih selesa dengan pendekatan ini namun pada masa yang sama memerhatikan tsunami hijau."