Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini mengakui bahawa kegiatan "politik wang" akhirnya menewaskan parti keramat orang Melayu itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan parah sekali.
Katanya, politik wang juga yang menjerumuskan Umno hingga ke tahap sekarang iaitu semakin melemah dan tidak lagi dapat bertahan dalam mendapatkan sokongan orang Melayu-Islam dalam PRU15 baru-baru ini.
"Kepada semua ahli Umno, sedarlah. Politik wang adalah jelik, jijik dan sangat keji.
"Keji pada agama, keji pada adat, keji pada amalan," katanya dalam ucapan perasmian bagi persidangan sayap-sayap utama parti bersempena dengan Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU22) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurut Mohamad, Umno kini hanya untuk mereka yang bersih, mahu berjuang dan mengasihi bangsanya.
Atas sebab itu, beliau menegaskan parti mesti membunuh kegiatan politik wang sebelum ianya membunuh Umno.
Pada PRU15, Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen, keputusan paling merosot dalam sejarah gabungan tersebut.
Sebelum PRU10, Umno menguasai hampir keseluruhan negeri di selatan, utara, tengah dan barat Semenanjung.
Di Sabah, Umno mendapat tempat dan menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) sejak 20 tahun lalu.
Kemunculan Perikatan Nasional (PN) dengan parti utamanya Bersatu dan PAS membawa satu gabungan politik yang memberi saingan sengit kepada Umno dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14.
Pada PRU15, PAS menguasai 43 kerusi Parlimen, sekali gus menjadi parti Melayu tertinggi mendominasi kerusi Parlimen Melayu iaitu hampir 43% berbanding Umno 23% dan PKR 11%.
Bercakap lebih lanjut, Mohamad yang juga ahli Parlimen Rembau berkata Umno sebagai parti yang tewas akan menjadikan idea sebagai modal politiknya yang baru, bukannya menggunakan elemen wang dan kuasa.
Tambahnya, Umno akan menjadi sebuah parti politik yang belajar dan menyerap keunggulan intelektual dari semua pendukungnya sama ada dari ahli parti mahupun orang Melayu atau bukan Melayu.
Kemudiannya, semuanya itu perlulah bersedia untuk menyumbang kepada kebaikan tanah air.
"Perjuangan politik kurun ke-21 adalah tentang percaturan dasar terbaik, program paling bermanfaat, kepimpinan paling kompeten dan institusi paling moden dan termaju.
"Gerakan Umno pasca PRU15 akan berorentasikan data, kajian, ilmu baru dan pendekatan termaju."