Juara bertahan Thailand menumpaskan Malaysia 3-0 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 dalam kemuncak perebutan tempat ke final di Stadium Thammasat, malam tadi
Kemenangan itu menyaksikan kebangkitan Gajah Perang bimbingan Alexandre Polking daripada kekalahan 0-1 di gelanggang lawan untuk mara ke final dengan bergaya mengatasi Harimau Malaya menerusi kemenangan agregat 3-1.
Thailand akan bertemu dengan Vietnam di pentas final.
Tiga gol Thailand disumbangkan penyerang prolifik Teerasil Dangda pada separuh masa pertama sebelum pemain sayap Bordin Phala dan penyerang gantian Adisak Kraisorn masing-masing mencetak nama sebagi penjaring pada babak kedua.
Thailand menerima tentangan sengit Malaysia di awal 10 minit sebelum mula menguasai permainan dengan kerap menyerang menerusi kedua-dua bahagian sayap sebelum Teerasil gagal menanduk bola hantaran cantik rakan sepasukan dari sebelah kanan pada minit ke-13.
Penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed kemudian bertindak cemerlang menepis percubaan jarak dekat Bordin pada minit ke-17 selepas menerima hantaran rakan sepasukan dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, gawang anak buah Kim Pan Gon dibolosi jua selepas Teerasil bijak melompat di antara pemain pertahanan negara, Sharul Nazeem Zulpakar dan Dominic Tan untuk menanduk hantaran lintang cantik kapten Theerathon Bunmathan pada minit ke-19.
Susulan ketegangan perlawanan, kelantangan kedua-dua jurulatih di tepi padang menyaksikan Pan Gon dan Polking dilayangkan kad kuning oleh pengadil Adham Mohammad Tumah Makhadmeh dari Jordan pada minit ke-29.
Percubaan tepat ke gawang pertama Malaysia hadir pada minit ke-36 menerusi tandukan penyerang Darren Lok yang menyambut hantaran lintang Mohd Nor Hakim Hassan tetapi bola tepat ke penjaga gol Kampon Phatomakkakul.
Keputusan 1-0 kekal memihak tuan rumah sebelum bersambung babak kedua menyaksikan keputusan Pan Gon membawa masuk penyerang naturalisasi, Lee Tuck dan dan pemain pertahanan kiri ,V. Ruventhiran tidak berjaya mengubah situasi pasukan negara yang terus tenggelam dalam asakan Thailand.
Thailand menghukum Malaysia untuk kali kedua apabila Bordin meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0 selepas beliau yang tidak dikawal tenang menyempurnakan hantaran Ekanit Panya dalam kotak penalti pada minit ke-55.
Pasukan negara kemudian mengambil masa lima minit untuk memberikan respons menerusi percubaan jarak jauh pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim yang tinggi melewati palang.
Muhammad Safawi Rasid dimasukkan pada minit ke-67, menggantikan Muhammad Fazly Mazlan, dalam usaha memburu gol, namun sebaliknya, Thailand meledak jaringan ketiga menerusi penyudah Adisak selepas menolak bola yang terdahulu terkena tiang pada minit ke-71.
Malaysia terus hilang arah apabila membenarkan Thailand terus mengasak sebelum terlepas beberapa peluang menambah jaringan sebelum wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan malam tadi menamatkan rekod tanpa kemenangan Thailand berdepan Malaysia selepas enam perlawanan sejak 2018 sekali gus membawa motivasi terbaik bagi menghadapi final pertama bertemu juara dua kali, Vietnam, di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Jumaat ini.
Thailand adalah pasukan paling berjaya dalam kempen Piala AFF sejak penganjuran sulung pada 1996 apabila muncul juara sebanyak enam kali selepas beraksi pada sembilan edisi final sebelum ini.