- Iklan -
Berita

Pemuda Umno gesa ‘pengkhianat parti’ disingkir

Tanpa menamakan individu yang terlibat, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa kesal perbuatan calon Umno yang berlagak "hero" memburukkan parti dan presiden ketika kempen PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendesak supaya pengkhianat parti atau ahli yang lebih mengutamakan diri sendiri berbanding perjuangan parti disingkirkan segera sebelum menjadi “barah” dalam parti itu.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2022 hari ini, beliau meluahkan rasa kecewa apabila terdapat calon Umno yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 memilih untuk jadi "hero" dengan mencerca parti ketika berkempen.

Tanpa menamakan individu tersebut, beliau menganggap tindakan tersebut menyebabkan kredibiliti parti terjejas sekali gus mendorong kepada kegagalan Umno meraih sokongan rakyat pada PRU November tahun lalu.

"Dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan Umno yang sesat dan korup.

"Seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna dan paling hebat segala-galanya," katanya.

Ketika tempoh kempen PRU15, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno mendedahkan beliau mempunyai "misi" untuk membersihkan kembali nama Umno dan BN dalam usaha menjadi parti pilihan utama rakyat dalam hal memperjuangkan nasib orang Melayu.

Bagaimanapiun, kenyataan tersebut telah dijadikan sebagai senjata oleh parti lawan termasuk Pakatan Harapan apabila ia secara tidak langsung menggambarkan parti keramat melayu itu sebagai parti kotor.

Dalam pada itu, Asyraf turut menyatakan bahawa kejatuhan Umno juga berpunca daripada perbuatan "api dalam sekam", "gunting dalam lipatan" dan "musuh dalam selimut" yang berkempen dengan cara mengutuk parti dan presiden sendiri.

"Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon.

"Apa hodoh sangatkah Umno yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali jadi menteri?

"Apa busuk sangatkan kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti?" soal Asyraf.

Tambah Asyraf, perbuatan ini menyebabkan rakyat memilih untuk beralih sokongan daripada Umno memandangkan pemimpinnya jelas bercakaran sesama sendiri.

"Bagaimana nak yakin bahawa kita boleh membawa kestabilan jika pemimpin atasan dilihat bercakaran?

"Realitinya, 2018 kita kalah kerana fitnah. 2022 kita kalah kerana berpecah!" tambah beliau.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.